WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sabah Bakal Laksana Operasi Besar-Besaran Banteras Dadah

14/01/2025 05:29 PM

KOTA KINABALU, 14 Jan (Bernama) -- Satu operasi bersepadu berskala besar bakal dilaksanakan bagi membanteras masalah dadah di Sabah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata operasi akan disertai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

"Sebelum ini bukan kita tidak pernah melaksanakan operasi namun operasi berkenaan dilaksanakan secara bersendirian oleh agensi masing-masing. JSJN Sabah hanya mempunyai 436 kekuatan dan dengan jumlah ini kita tidak mampu melaksanakan operasi yang lebih berkesan.

"Oleh itu kita mahu bantuan daripada PGA Sabah yang mempunyai 4,054 kekuatan dan PPM Sabah dengan kekuatan seramai 949 anggota. Jadi dengan adanya banduan daripada mereka sudah semestinya kita akan berjaya melaksanakan operasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama PGA Sabah dan PPM Sabah di Ibu Pejabat Briged Sabah, PGA Kinarut di sini hari ini.

Kok Chin berkata mesyuarat itu bertujuan membincangkan masalah keselamatan sempadan khususnya masalah dadah di Sabah yang perlu ditangani.

"Di sini kita telah merancang secara bersama dan kita telah kenal pasti kawasan-kawasan titik panas yang dipercayai menjadi laluan utama pada sindiket yang aktif di negeri ini. Saya tidak boleh jelaskan apa perancangan kita kerana ia akan menjejaskan operasi," katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya Sabah hanya dijadikan tempat transit sebelum dadah dihantar ke negara jiran.

"Mengikut siasatan yang kita dapat, kebanyakan dadah berkenaan dihantar ke negara jiran kerana permintaan yang tinggi serta harga yang lebih tinggi berbanding di Malaysia. Syabu satu kilo sekarang anggaran RM33,000 hingga RM35,000 di Malaysia tetapi apabila ke negara jiran ia boleh mencecah RM450,000 jadi ia punya permintaan tinggi dengan harga yang begitu lumayan," katanya. 

Sehubungan itu, Kok Chin meminta orang ramai agar segera melaporkan kepada balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat mengenai aktiviti atau kehadiran sindiket dadah di kawasan masing-masing.

"Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada anggota atau pegawai polis yang terlibat dengan sindiket dadah. Tiada dwistandard (double standard)...semua akan dikenakan tindakan yang tegas sama ada dia orang besar atau orang biasa," tegasnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan