WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bank Islam, Solar Voltech Meterai Perjanjian Pembiayaan RM105.2 Juta Bagi Projek Penjanaan Solar

14/01/2025 10:01 PM

GEORGE TOWN, 14 Jan (Bernama) - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini memeterai perjanjian pembiayaan bernilai RM105.2 juta dengan Solar Voltech Sdn Bhd, anak syarikat PDC Premier Holdings Sdn Bhd bagi membiayai projek penjanaan solar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata pembiayaan itu mencerminkan usaha kolektif Bank Islam menjadi pemangkin kepada matlamat Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 yang selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) negara. 

“Kerjasama antara Bank Islam dengan Solar Voltech bagi memperkasa teknologi hijau telah bermula sejak 2024 melibatkan pembiayaan keseluruhan sebanyak RM105.2 juta.

“Bank Islam komited untuk meneruskan usaha memacu kemampanan hijau melalui penyelesaian pembiayaan inovatif,” katanya ketika berucap pada majlis permeteraian perjanjian tersebut, di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, Bank Islam diwakili Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan - Perbankan Institusi Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir manakala Solar Voltech Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Operasinya Izwanaim Ismail.

Mohd Muazzam berkata sebagai peneraju pembiayaan mampan patuh Syariah, Bank Islam bertekad untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi hijau Malaysia di samping mewujudkan impak berpanjangan terhadap perniagaan, masyarakat dan alam sekitar.

“Menerusi sokongan pembiayaan sebanyak RM105.2 juta ini, ia juga menyumbang kepada keseluruhan daripada portfolio pembiayaan hijau dan mampan Bank Islam, yang telah mencecah RM5 bilion setakat 2024.

“Ini menjadikan jumlah pembiayaan yang diluluskan untuk sektor tenaga boleh baharu adalah sebanyak 58.1 peratus daripada keseluruhan pembiayaan hijau setakat 2024,” katanya.

Beliau berkata selaras dengan kejayaan itu Bank Islam telah menetapkan sasaran lebih tinggi untuk meningkatkan portfolio pembiayaan mampan kepada RM28 bilion menjelang akhir 2025.

Sementara itu, Izwanaim berkata secara dasarnya pelaburan bagi projek solar itu mampu menjana tenaga bersih untuk keperluan ratusan rumah, bangunan komersial dan industri. 

Selain itu, katanya, projek tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil tetapi juga pelepasan karbon secara signifikan.

“Manfaat jangka panjangnya termasuklah penjimatan kos tenaga, peningkatan kualiti udara, dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi hijau. Lebih penting lagi, ia membantu Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang tahun 2050, sejajar dengan komitmen global terhadap perubahan iklim,” katanya.

Mohammad Azhar pula berkata kerjasama itu membuktikan usaha syarikat dalam memajukan agenda tenaga boleh baharu Malaysia sambil menangani cabaran perubahan iklim yang mendesak. 

Menurutnya, dengan adanya perjanjian itu, pihaknya yakin mampu merealisasikan visi bersama untuk membina masa depan yang lebih hijau dan mampan, sejajar dengan aspirasi negara untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.

Projek solar yang akan dilaksanakan oleh Voltech Sdn Bhd merangkumi pelbagai teknologi bersih termasuk solar PV, BIPV (Building Integrated Photovoltaic), pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan audit tenaga.

— BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan