WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Trafik Penumpang Udara Malaysia Diunjur Melonjak Tahun Ini, Pacu Pemulihan Berterusan

15/01/2025 04:33 PM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengunjurkan trafik penumpang udara Malaysia mencapai antara 105.8 juta hingga 112.9 juta penumpang tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata peningkatan jumlah penumpang itu dijangka melebihi rekod yang dicatatkan pada 2019 iaitu 109.3 juta dan mewakili pertumbuhan antara 8.4 peratus hingga 15.6 peratus tahun ke tahun.

“Pertumbuhan ini dijangka didorong oleh penambahan kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan, peningkatan permintaan untuk perjalanan antarabangsa, dan peningkatan keseluruhan pendapatan isi rumah.

“Syarikat penerbangan juga dijangka meningkatkan kapasiti sebanyak 15.8 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, dan ini didorong oleh peningkatan ketara perjalanan domestik, yang diunjurkan 21.1 peratus tahun ke tahun,” katanya di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai prestasi trafik penumpang dan kargo Malaysia bagi 2024 serta unjuran bagi 2025.

Loke berkata tiga rantau teratas yang dijangka mengalami pertumbuhan kapasiti tempat duduk dari Malaysia ialah Afrika, Eropah dan Asia Selatan.

Beliau berkata trafik penumpang udara Malaysia kini mencecah 90 peratus daripada paras sebelum pandemik, iaitu satu pemulihan yang ketara daripada kemerosotan semasa tempoh pandemik COVID-19.

Pada 2020, jumlah penumpang susut kepada 26.7 juta, dengan kebanyakan pergerakan dicatatkan pada awal tahun iaitu sebelum sekatan pergerakan diperketatkan, katanya.

“Keadaan menjadi lebih sukar pada 2021 apabila sempadan antarabangsa ditutup, menyebabkan perjalanan menjadi sangat terhad,” katanya.

Loke berkata bagaimanapun, rantaian bekalan kekal sebagai cabaran utama bagi industri, yang telah terjejas akibat pandemik, menyebabkan kelewatan dalam pembuatan pesawat, kekurangan komponen, dan gangguan logistik di seluruh dunia.

Di sebalik semua cabaran itu, syarikat penerbangan Malaysia bertindak proaktif mengatasinya dengan menilai semula struktur kos, mengoptimumkan jadual penyelenggaraan, merundingkan semula kontrak pembekal, dan mengurangkan perbelanjaan overhed.

“Memandang ke tahun ini, tinjauan makroekonomi adalah positif dengan pertumbuhan ekonomi global dijangka kekal stabil, (berdasarkan data) berkembang sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun manakala bagi ASEAN pula dijangka berkembang 4.5 peratus tahun ke tahun.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan meningkat antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ke tahun. Ringgit pula dijangka stabil pada RM4.45 berbanding dolar Amerika Syarikat. Secara purata, kos bahan api dijangka turun kepada 26.4 peratus (2024: 28.9 peratus) daripada perbelanjaan operasi, memberikan sedikit kelegaan kos kepada syarikat penerbangan,” katanya.

Selain itu, MAVCOM menjangkakan jumlah kargo udara meningkat antara 4.5 peratus hingga 8.5 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pemulihan ekonomi dan perkembangan berterusan sektor e-dagang.

Trafik penumpang udara Malaysia pada 2024 meningkat 14.3 peratus kepada sejumlah 97.1 juta penumpang daripada tahun sebelumnya, sejajar dengan unjuran MAVCOM iaitu antara 95.4 hingga 97.6 juta penumpang.

Angka itu mewakili 89 peratus daripada paras pada 2019 (sebelum pandemik: 109.3 juta penumpang).

Pada 2024, trafik penumpang didorong oleh segmen penumpang ASEAN dan antarabangsa, dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 19.8 peratus dan 38.9 peratus.

Segmen penumpang domestik mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus, didorong oleh beberapa faktor utama.

Faktor itu meliputi penambahan kapasiti tempat duduk yang disediakan oleh syarikat penerbangan, pengecualian visa bagi pelancong dari China dan India, serta peningkatan kesalinghubungan ke destinasi utama seperti China, India, Indonesia, Korea Selatan, Australia, dan negara-negara Teluk.

Tempoh 2024 juga menyaksikan syarikat penerbangan melancarkan laluan udara baharu termasuk ke Kazakhstan dan Kenya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan