WILAYAH - TIMUR > BERITA

Polis Tahan Tiga Lelaki Bantu Siasatan Kes Pukul OKU

18/01/2025 01:57 PM

CHUKAI, 18 Jan (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pukul seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata tiga lelaki termasuk seorang peniaga berusia 18 hingga 60 tahun itu ditahan kira-kira 8 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini ketika hadir memberi keterangan.

Beliau berkata siasatan menyeluruh akan dijalankan daripada semua aspek, dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

"Kita turut menasihatkan keluarga mangsa supaya lebih peka dan memantau mangsa dengan baik supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Semalam tular di laman sosial video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, di sini.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lelaki yang berusia 47 tahun yang menunggang motosikal terlanggar salah sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan jualan terjatuh.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan