WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Suspek Lari Dari IPD Tangkak Ditahan Semula

18/01/2025 03:47 PM

TANGKAK, 18 Jan (Bernama) -- Polis menahan semula penjenayah yang melarikan diri dari tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sebuah rumah di Kluang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata hasil maklumat awam, bahagian siasatan jenayah Tangkak dan dibantu polis daerah Kluang menahan lelaki terbabit pada 10.50 pagi.

"Pihak polis telah ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan dilakukan, kita mengesahkan lelaki itu adalah tahanan yang sememangnya dikehendaki selepas melarikan diri daripada kawalan polis pada 15 Jan lepas.

"Hasil tangkapan membawa kepada penemuan dan rampasan sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna biru dengan nombor pendaftaran JVJ 4375 yang dilaporkan hilang di Tangkak yang disyaki digunakan suspek untuk melarikan diri.

"Selain itu, hasil maklumat suspek utama, polis berjaya menahan dua lagi rakannya yang disyaki bersubahat melindungi pesalah yang melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan berkata suspek dan dua rakannya kemudian dibawa ke IPD Tangkak untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

"Pada masa sama, kita mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan