MIRI, 20 Jan (Bernama) -- Two Offshore Marine Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan dan penyelesaian luar pesisir yang sepenuhnya milik Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Databayu Enterprise Sdn Bhd iaitu penyedia perkhidmatan katering luar pesisir, logistik dan sokongan yang dikenali.
Two Offshore Marine dalam satu kenyataan hari ini berkata, majlis menandatangani perjanjian tersebut diadakan di ibu pejabat Databayu Enterprise di sini.
Two Offshore Marine merupakan penyedia perkhidmatan dan penyelesaian luar pesisir yang diiktiraf kerana kecemerlangan dan kualitinya dalam industri minyak dan gas (O&G) Malaysia.
"Usaha sama ini merupakan titik peralihan yang penting dalam industri O&G Malaysia kerana menggabungkan pengalaman, sumber serta visi bersama dua peneraju industri untuk memacu inovasi dan penyelesaian luar pesisir yang cekap," kata syarikat berkenaan.
Kerjasama ini bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan sokongan dan logistik luar pesisir yang boleh dipercayai di rantau ini, seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kepakaran dalam sektor O&G.
Sementara itu, Pengarah Two Offshore Marine Gunaseelan Kuppusamy pada majlis menandatangani perjanjian tersebut meluahkan keterujaannya mengenai usaha sama baharu ini sambil menekankan sinergi yang terbentuk di antara kedua-dua syarikat.
"Kami teruja untuk bekerjasama dengan Databayu Enterprise, sebuah syarikat yang berkongsi komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dan inovasi.
"Kerjasama ini akan membolehkan kami meningkatkan kualiti perkhidmatan luar pesisir kami, memberikan penyelesaian yang disesuaikan dan cekap bagi memenuhi keperluan dinamik pelanggan kami dalam industri O&G. Bersama-sama kami akan menetapkan penanda aras baharu untuk piawaian industri dan penyampaian perkhidmatan," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Databayu Enterprise Cynthia Abeng turut mengutarakan pendapat yang sama dengan menekankan kepentingan kerjasama berkenaan dalam memajukan industri O&G di rantau ini.
"Kami yakin kerjasama dengan Two Offshore Marine akan membawa ke tahap yang lebih tinggi. Dengan menggabungkan kepakaran, sumber dan komitmen terhadap keselamatan, kecekapan dan kepuasan pelanggan, kami akan memberikan perkhidmatan yang tiada tandingan kepada pelanggan kami.
"Kami juga komited untuk memastikan operasi pelanggan kami disokong dengan piawaian kualiti tertinggi, kebolehpercayaan dan sudah tentu, sebagai penyedia katering luar pesisir, makanan yang lazat dan berkhasiat. Kami berharap untuk memperoleh pencapaian baharu bersama-sama dan memberikan nilai cemerlang kepada industri yang sedang kami berkhidmat," katanya.
Perjanjian ini melambangkan komitmen bersama untuk menyediakan penyelesaian berkualiti tinggi yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan dalam sektor O&G.
Kenyataan itu berkata, dengan menggabungkan kekuatan masing-masing, Two Offshore Marine dan Databayu Enterprise komited untuk menyediakan perkhidmatan komprehensif seperti sokongan kapal, penyelesaian katering dan pengurusan logistik.
Katanya, usaha sama ini selaras dengan matlamat bersama kedua-dua syarikat untuk memajukan piawaian industri, membangunkan bakat tempatan selain mengekalkan tahap keselamatan dan kelestarian yang tertinggi.
"Ia mencerminkan komitmen mereka untuk memacu inovasi selain memberikan nilai kepada pelanggan dan pemegang saham dalam industri O&G Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial