WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tinjauan Alliance Bank: Kesedaran Terhadap ESG Dalam Kalangan PKS Naik 60 Peratus

21/01/2025 09:02 PM

SUBANG, 21 Jan (Bernama) -- Kesedaran terhadap penerapan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia meningkat enam kali ganda, daripada 14 peratus kepada 80 peratus dalam tempoh dua tahun ini.

Pendedahan oleh Laporan ESG 2.0 yang dijalankan oleh Alliance Bank Malaysia Bhd itu mencerminkan pengiktirafan ketara PKS terhadap kepentingan kemampanan dalam landskap perniagaan yang kompetitif hari ini. 

Ketika pelancaran laporan itu hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif bank Kellee Kam menekankan komitmen pihaknya untuk memperkasakan PKS dalam peralihan ke arah kemampanan, memandangkan PKS berperanan penting dalam ekonomi Malaysia, terutamanya dalam memacu pekerjaan dan mengukuhkan rantaian bekalan.

"Ia bukan hanya sebagai keperluan pematuhan, tetapi sebagai pemacu pertumbuhan, inovasi dan daya saing global,” katanya.

Laporan ESG pertama bank itu turut merangkumi pembangunan rangka kerja bagi membimbing PKS melalui setiap peringkat perjalanan ESG mereka, daripada meningkatkan kesedaran, melaksanakan strategi yang berkesan dan mengakses pembiayaan mampan.

"Dengan pengenalan Pendekatan 3A  Alliance Bank iaitu advokasi, nasihat dan jawapan, penerapan ESG ini dalam kalangan PKS bukan lagi sekadar memenuhi keperluan pematuhan. Ia adalah permintaan yang dipacu pasaran, dengan kemampanan menjadi faktor utama dalam rantaian bekalan global dan pasaran eksport,” kata Kam.

Sejak memulakan inisiatif kemampanannya, Alliance Bank memperuntukkan lebih RM15 bilion untuk menyokong projek berkaitan ESG, dengan kerjasama kukuh rakan kongsi perniagaan, termasuk agensi kerajaan, syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan.

Kam menekankan kepentingan memupuk amalan kemampanan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan kawal selia, tetapi tentang memahami, mengambil berat, dan memberikan impak untuk tujuan yang lebih bermakna.

“Dengan saling bekerjasama, kami boleh memastikan PKS Malaysia bersedia untuk berkembang maju dalam pasaran yang berdaya saing dan berfokuskan kemampanan,” katanya.

Laporan ESG 2.0 itu juga mendedahkan PKS yang menerapkan amalan ESG menyatakan bahawa penjimatan kos, permintaan pasaran, dan inovasi sebagai pendorong utama untuk mengintegrasikan amalan kemampanan dalam operasi mereka, dengan 60 peratus daripada PKS kini menyertai inisiatif ESG.

Mereka mengiktiraf nilai jangka panjang amalan ESG, termasuk pengurusan risiko yang lebih baik dan peningkatan dalam produktiviti.

Selain itu, 38 peratus PKS melaporkan peningkatan hasil lebih daripada 50 peratus susulan penerapan amalan kemampanan dalam perniagaan mereka.

Kam juga menggalakkan agar pihak berkepentingan mendalami penemuan itu yang menyediakan strategi berkesan untuk mengintegrasikan kemampanan ke dalam model perniagaan.

“Dengan kemampanan sebagai teras, Alliance Bank menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem yang berdaya tahan dan inklusif bagi menyokong pertumbuhan PKS dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain ekonomi global,” katanya.

Tinjauan itu menggunakan pendekatan tiga langkah tersebut menerusi perbincangan dan temu bual yang mendalam, melibatkan hampir 400 peserta PKS serta pandangan daripada penyelidikan sekunder.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan