WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tahun Baharu Cina: Polis Kenal Pasti 21 Lokasi 'blackspot' Kemalangan Di Terengganu

26/01/2025 07:42 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Jan (Bernama) -- Polis mengenal pasti 21 lokasi blackspot atau kawasan kerap berlaku kemalangan ketika musim perayaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Terengganu tahun ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata ia termasuk lima lokasi di daerah Besut, Marang (empat lokasi), Hulu Terengganu (tiga lokasi) dan masing-masing dua lokasi di Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan Setiu serta satu lokasi di Kuala Nerus.

Beliau berkata polis juga mengenal pasti 34 lokasi yang kerap berlaku kesesakan disebabkan pertambahan kenderaan keluar masuk ketika musim perayaan di negeri itu.

“Polis akan menempatkan lebih 400 anggota, yang akan bertugas melakukan rondaan dan ditempatkan secara statik di lokasi blackspot sempena Op Selamat ke-23 yang bermula Selasa ini.

“Pasukan itu akan bertugas selama 24 jam secara syif bagi memantau, melancarkan perjalanan trafik dan membantu orang ramai yang memerlukan,” katanya pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shah Bandar di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Maliaman Kassim dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu Mohd Zamri Samion.

Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata 188 kes kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat ke-21 berbanding 205 kes pada Op Selamat ke-19.

Bagaimanapun, jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang Op Selamat ke-21 meningkat kepada 13,405 berbanding 4,531 pada Op Selamat ke-19.

“Kita akan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengurangkan kadar kemalangan termasuk kemalangan maut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan