WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Had Laju Jalan Persekutuan Dikurangkan 10 Km/j Sempena Tahun Baharu Cina

27/01/2025 12:08 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Had laju di semua jalan Persekutuan di seluruh negara akan diturunkan daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j bermula esok hingga 2 Feb depan, sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini memaklumkan penurunan sementara had laju selama enam hari sepanjang Op Bersepadu itu bertujuan meminimumkan risiko kemalangan jalan raya.

“Sepanjang tempoh itu, kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara agar tidak mengganggu aliran trafik manakala kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang sebaiknya.

“Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan agar tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi dituju,” katanya.

Selain itu, bagi memastikan kelancaran lebuh raya, Nanta turut mengarahkan syarikat Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) supaya menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Jan hingga 3 Feb 2025.

Dalam pada itu, Nanta menyarankan semua pengguna jalan raya untuk siap siaga sepenuhnya sebelum melakukan perjalanan termasuk menjaga kesihatan, berehat secukupnya sebelum dan semasa perjalanan agar tidak mengalami keletihan melampau serta mengantuk semasa memandu.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk memastikan kad debit, Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan Touch n' Go mempunyai baki mencukupi untuk mengelakkan gangguan kesesakan kepada pengguna lain di plaza tol.

Pengguna jalan raya juga diingatkan untuk memeriksa kondisi kenderaan termasuk tayar supaya siap sedia untuk perjalanan jauh dan memandu kenderaan secara berhemah, sentiasa bersabar dan mengikut undang-undang jalan raya.

"Sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang diterajui oleh KKR, semua pengguna jalan raya bertanggungjawab memastikan keselamatan diri dan penumpang serta keselamatan dan keselesaan pengguna yang lain. 

"Anggaplah pengguna jalan raya lain sebagai ahli keluarga kita atau ahli keluarga besar Malaysia MADANI. Semoga kita sentiasa meraikan kepelbagaian dan menanam dengan kukuh rasa saling menyayangi, rasa hormat serta terus memupuk nilai–nilai perpaduan dalam sanubari kita," katanya.

Nanta turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya dan berharap kepelbagaian ini dapat diraikan selain menanam kukuh rasa saling menyayangi, hormat-menghormati  serta memupuk nilai-nilai perpaduan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan