PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menggesa badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai pengalaman beroperasi di Palestin untuk terlibat dalam Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi bagi membantu usaha membangunkan semula Gaza.
Beliau berkata penglibatan semua pihak dalam jawatankuasa itu adalah mustahak dalam menjayakan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu rakyat Palestin.
“Kita sama-sama doakan agar hasrat yang disebut oleh Perdana Menteri supaya Malaysia memainkan peranan khususnya dalam konteks bersama-sama dengan kerajaan Jepun untuk membantu sahabat kita yang ditindas dan dizalimi oleh rejim Zionis Israel berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Zikir Akbar MADANI sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 di sini malam ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Mohd Na'im berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat pertama pada 6 Feb ini dengan gerak kerja akan dikelola oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Antara pengisian program malam ini termasuk Solat Hajat, bacaan surah Yasin dan doa selamat untuk kesejahteraan Malaysia, dan Tausiyah Khas menyentuh nilai perpaduan dan kesejahteraan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial