WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kumpulan The Hague: Malaysia Seru Pelaksanaan Penuh Perjanjian Gencatan Senjata 15 Jan

01/02/2025 11:56 AM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Malaysia menegaskan semula sokongan teguh terhadap perjuangan Palestin dan menggesa pelaksanaan penuh perjanjian gencatan senjata 15 Jan sebagai langkah penting ke arah keamanan berkekalan.

Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Roseli Abdul, menyuarakan harapan agar kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kumpulan The Hague yang baru ditubuhkan di Belanda pada Jumaat akan memainkan peranan penting dalam memastikan keadilan dan mempertahankan hak rakyat Palestin untuk bernegara.

Dalam kenyataannya ketika mewakili Malaysia pada majlis perasmian Kumpulan The Hague susulan kenyataan bersama yang disampaikan oleh sembilan negara pengasasnya, beliau menegaskan komitmen teguh Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

“Selepas hampir 500 hari dan hampir 50,000 kematian, rakyat Palestin akhirnya menyaksikan kelegaan dengan gencatan senjata Gaza yang telah lama dinantikan, walaupun keganasan masih berterusan. Kemusnahan sistematik Gaza telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dipulihkan, sekali gus menekankan keperluan mendesak untuk tindakan bagi mengembalikan harapan dan membangunkan semula Palestin.

“Oleh itu, Malaysia menggesa pelaksanaan penuh perjanjian gencatan senjata 15 Jan sebagai langkah kritikal ke arah keamanan yang mampan,” kata Roseli.

Mengulas lanjut mengenai pendirian Malaysia, beliau menyatakan bahawa sikap negara dalam isu Palestin berpandukan prinsip kemanusiaan, integriti Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan keluhuran undang-undang antarabangsa.

“Impuniti mesti ditamatkan, keadilan mesti ditegakkan dan hak, kebebasan serta maruah rakyat Palestin mesti dilindungi,” katanya.

Malaysia kekal komited menyokong tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan menggesa masyarakat antarabangsa menunaikan tanggungjawab mereka di bawah undang-undang antarabangsa, tambahnya.

Menurut Roseli, undang-undang antarabangsa tidak boleh disalah tafsir atau dieksploitasi untuk membenarkan tindakan seperti Pelan Pembahagian yang mengakibatkan ketidakadilan dengan memberikan lebih banyak tanah kepada pihak penjajah berbanding penduduk asal.

“Membetulkan ketidakadilan ini memerlukan pengiktirafan negara Palestin dan perlindungan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

“Pelanggaran berulang Israel terhadap resolusi PBB wajar mendapat perhatian kerana ia bercanggah dengan prinsip Piagam PBB. Ketidakseimbangan kuasa yang ditandai dengan dasar aparteid dan ketenteraan terus menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” tegasnya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar berusaha mencari penyelesaian yang mencerminkan aspirasi rakyat Palestin dan selaras dengan suara kolektif Perhimpunan Agung PBB.

“Masyarakat antarabangsa pernah bersatu menentang aparteid di Afrika Selatan. Kini, kita mesti mengumpulkan ketegasan yang sama untuk Palestin,” tambahnya.

Wakil kerajaan Belize, Bolivia, Colombia, Cuba, Honduras, Malaysia, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan berhimpun di The Hague pada Jumaat bagi merasmikan Kumpulan The Hague secara rasmi.

Kenyataan Bersama sulung Kumpulan The Hague boleh dilayari di https://thehaguegroup.org/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan