WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kesan Banjir Akan Dibincang Di Kabinet Untuk Tambahan Peruntukan - Premier Sarawak

01/02/2025 04:42 PM

BINTULU, 1 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri bersedia menambah jumlah peruntukan bagi membantu rakyat yang terjejas banjir, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke perbincangan di kabinet bagi menilai kesan banjir yang berlaku di seluruh negeri berkenaan, dan jumlah peruntukan mengikut keperluan di semua tempat yang terjejas.

“Apa yang akan kita lakukan, kita akan bincang dalam kabinet tetapi RM10 juta telah saya keluarkan. Takut tak cukup, sebab itu kita akan tambah mengikut keperluan seluruh Sarawak,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di sini hari ini.

Semasa di Miri semalam, Abang Johari meluluskan tambahan peruntukan RM10 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bagi membantu mangsa yang terjejas banjir.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak termasuk pihak swasta yang tampil menghulurkan sumbangan kepada JPBN Sarawak.

Selain mengucapkan terima kasih kepada petugas daripada pelbagai jabatan dan agensi yang terus bekerja membantu mangsa banjir, beliau turut mengambil maklum wakil-wakil rakyat telah turun padang melawat kawasan dilanda banjir.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan