WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kadar Keciciran Pelajar Sekolah Rendah Dan Menengah Menurun - KPM

04/02/2025 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kadar keciciran murid sekolah rendah dan menengah dilaporkan menurun secara keseluruhannya daripada 21,748 orang pada tahun 2020 kepada 13,007 orang tahun lepas.  

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata daripada jumlah itu, 2,873 pelajar merangkumi 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah telah dikembalikan ke sekolah pada tahun lepas.

“Pada tahun 2020, di peringkat sekolah rendah kadar keciciran adalah 0.10 peratus atau 2,437 murid manakala pada tahun 2024, ia telah menurun kepada 0.06 peratus membabitkan 1,595 murid.

“Di sekolah menengah pula, pada tahun 2020 kadar keciciran 1.13 peratus melibatkan 19,311 pelajar dan kadar itu menurun kepada 0.64 peratus pada tahun 2024 melibatkan 11,412 orang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin tahu mengenai jumlah pelajar tercicir di semua peringkat, dan adakah kerajaan bercadang untuk menambah Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di kawasan tertentu dalam menangani isu keciciran pelajar.

Wong berkata setakat ini terdapat 28 sekolah K9 dan dua sekolah K11 iaitu di Betau, Pahang dan Long Bedian, Sarawak.

“Pada tahun ini pihak KPM (Kementerian Pendidikan) bercadang untuk menambah bilangan sekolah K9 ini sebanyak tujuh sekolah serta lokasi dan nama sekolah akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, KPM juga sedang menilai kebolehlaksanaan untuk menjadikan sebahagian daripada sekolah K9 sedia ada kepada sekolah K11. Ini sebahagian daripada usaha KPM untuk menangani isu keciciran,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan berasingan mengenai isu rokok elektrik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah, Wong berkata terdapat peningkatan dalam trend penggunaan rokok elektrik membabitkan golongan berkenaan iaitu 0.39 peratus daripada keseluruhan murid atau 19,450 orang tahun lepas, berdasarkan statistik yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

“Bagi rokok pula, ia mencatatkan satu trend penurunan, pada tahun 2024 jumlah murid yang dilaporkan ialah 3,704 bersamaan dengan 0.07 peratus daripada keseluruhan murid.

“Untuk kesemua kes yang terbabit, pihak KPM telah mengambil tindakan terhadap murid-murid yang terbabit berpandukan garis panduan dan juga surat siaran sedia ada,” katanya menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu statistik terkini pelajar yang terlibat dengan gejala vape.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan