Oleh Rohani Mohd Ibrahim
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Uzbekistan mencadangkan penubuhan kumpulan pakar bersama yang terdiri daripada sarjana Islam Uzbekistan dan Malaysia sebagai platform dialog bersama bagi menyampaikan sifat kemanusiaan dan keamanan Islam kepada masyarakat antarabangsa serta menganjurkan program untuk mencegah Islamofobia.
Rektor Akademi Islam Antarabangsa Uzbekistan, Prof Dr Muzaffar Kamilov, berkata Islamofobia semakin meningkat, khususnya dalam kalangan masyarakat Barat, yang berpunca daripada kurangnya pemahaman mendalam mengenai ajaran Islam yang sebenar serta aktiviti merosakkan oleh gerakan fanatik yang beroperasi atas nama Islam.
“Oleh itu, adalah amat penting untuk mengenal pasti dan menganalisis punca serta faktor yang mempengaruhi pembentukan Islamofobia pada masa kini, serta membangunkan cadangan dan saranan berdasarkan kajian saintifik bagi mengatasinya,” katanya pada sesi perbincangan meja bulat bertemakan Warisan Budaya: Penghubung Antara Uzbekistan dan Malaysia di Muzium Kesenian Islam Malaysia hari ini.
Sesi perbincangan itu diadakan sempena lawatan rasmi Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, yang bermula hari ini.
Menurut Kamilov, Akademi Islam Antarabangsa Uzbekistan terbuka dan berhasrat untuk membangunkan kerjasama dua hala dengan institusi pendidikan dan penyelidikan saintifik di Malaysia, khususnya Muzium Kesenian Islam Malaysia.
Merujuk kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Uzbekistan tahun lalu, beliau berkata perjanjian yang dicapai ketika lawatan itu untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi merangkumi latihan dan pembangunan profesional lanjutan kakitangan, penubuhan program bersama antara universiti serta memudah cara pertukaran kepakaran, penyelidikan saintifik dan tenaga akademik.
"Kerjasama ini telah mempertingkat lagi hubungan erat antara kedua-dua negara," tambahnya.
Satu lagi cadangan yang dikemukakan oleh Kamilov dalam perbincangan itu ialah agar pelajar yang mengikuti kursus pelancongan di institusi pengajian tinggi Malaysia mengunjungi bandar terpilih di Uzbekistan yang kaya dengan warisan budaya seperti Samarkand, Bukhara dan Khorezm.
“Ini akan memberi peluang kepada pelajar untuk melihat makam suci tempat tinggal para pemikir, sarjana dan wali,” katanya.
Presiden Uzbekistan kini dalam lawatan rasmi ke Malaysia sehingga 5 Feb, yang merupakan lawatan pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan pada Disember 2016.
Dalam kenyataan pada Selasa (4 Feb), Kementerian Luar Malaysia memaklumkan bahawa Mirziyoyev diiringi delegasi peringkat tinggi termasuk tujuh menteri Kabinet - antaranya Menteri Luar Bakhtiyor Saidov – serta pegawai kanan lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial