SHAH ALAM, 4 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengguna pakai teknologi pengimbas tiga dimensi (3D) bagi membina semula lokasi kejadian bagi membantu siasatan semula kes kematian Teoh Beng Hock.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata teknologi terkini itu berupaya menghasilkan gambaran lebih jelas secara digital berkaitan lokasi Teoh ditemukan meninggal dunia 15 tahun lepas.
"Setelah sekian lama, saya dapati struktur lokasi sedikit berubah akibat peredaran masa namun polis cuba membina semula kemungkinan kejadian dalam bentuk 3D.
"Sejauh mana teknologi ini dapat membantu dan memperkemas siasatan, kita tunggu hasil dapatan dalam tempoh dua minggu dari sekarang," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas selesai menjalankan siasatan semula di lokasi kematian bekas pembantu Exco Selangor itu di Plaza Masalam di sini malam ini. Siasatan berkenaan bermula sejak 10 pagi tadi.
Pada 21 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian Teoh dalam tempoh enam bulan.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Teoh terhadap Ketua Polis Negara, Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai respoden pertama hingga keempat.
Teoh ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, di sini selepas memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah yang pada masa sama merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata lima pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan sejak kematian Teoh dilaporkan dan berdasarkan maklumat terkini, pihaknya akan memanggil lebih 40 saksi yang telah dikenal pasti.
Beliau berkata pihaknya optimis dapat melengkapkan siasatan sebelum Mei depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial