WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ahli Parlimen Pertahan Visi Negara Di Sebalik Kritikan Terhadap Kepengerusian Malaysia

06/02/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Malaysia telah menunjukkan kepimpinan kukuh dan visi strategik dalam menangani cabaran utama, memacu pertumbuhan ekonomi serta mengukuhkan perpaduan ASEAN, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.

Malaysia merupakan satu daripada empat negara pengasas ASEAN yang telah ditubuhkan pada 1967 untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan memelihara keamanan dan keselamatan di Asia Tenggara. 

Beliau berkata, kritikan terhadap Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia adalah tidak adil kerana ia tidak mengambil kira langkah proaktif yang telah diambil untuk memperkukuh kerjasama serantau.

Ahli Parlimen berusia 27 tahun itu berkata demikian ketika mengulas Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, mengatakan kritikan berkenaan telah menolak usaha Malaysia tanpa mengambil kira langkah-langkah proaktif  yang diambil untuk meningkatkan kerjasama serantau.

"Malaysia telah mengambil langkah signifikan untuk memperkukuh kapasiti institusi ASEAN, menyelaraskan proses membuat keputusan dan meningkatkan penyelarasan dalam kalangan negara anggota.

Selain itu, Malaysia juga menggesa agar Sekretariat ASEAN diperkukuh dengan sumber yang lebih baik bagi mengurus agenda serantau yang semakin berkembang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Taufiq turut menekankan bahawa Malaysia sedang menerajui inisiatif kesalinghubungan pembayaran serantau ASEAN yang bertujuan mengintegrasikan sistem pembayaran digital dalam kalangan negara anggota.

“Inisiatif ini akan memudahkan urus niaga rentas sempadan, sekali gus memberi manfaat kepada perniagaan dan pengguna. Selain itu, Malaysia turut menggesa pelaksanaan penuh Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi merangsang aliran perdagangan dan pelaburan, memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab ekonomi global,” katanya.

Menyedari kepentingan keterjaminan makanan, beliau berkata Malaysia turut bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN untuk membangunkan rangka kerja daya tahan bekalan makanan serantau bagi menangani gangguan akan datang serta memastikan bekalan makanan stabil dan mampu milik untuk semua negara anggota.

Dalam isu Laut China Selatan, Taufiq berkata Malaysia memperkukuh pendirian kolektif ASEAN dengan menggesa pemeteraian Kod Tatalaku (COC) yang mengikat secara sah dengan China bagi mengelakkan konflik dan menjamin kebebasan pelayaran.

Beliau turut menekankan gesaan Malaysia agar ASEAN memperkukuh kerjasama keselamatan maritim bagi menangani ancaman seperti penangkapan ikan secara haram yang boleh menjejaskan kestabilan serantau.

Mengenai perubahan iklim, yang semakin mengancam Asia Tenggara, Taufiq berkata Malaysia sedang menerajui usaha memperkukuh keupayaan tindak balas bencana ASEAN melalui penyelarasan lebih baik di bawah Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).

"Malaysia juga sedang mengorak langkah bagi memperluaskan mekanisme pembiayaan iklim agar negara anggota ASEAN dapat mengakses lebih banyak dana untuk projek hijau dan usaha pemulihan kesan bencana," katanya.

Selain itu, beliau berkata Malaysia turut memperjuangkan inisiatif bagi meningkatkan perjalanan tanpa visa dan program mobiliti untuk warga ASEAN, bagi memudahkan profesional, pelajar dan pekerja untuk bergerak merentas sempadan.

Beliau berkata ini termasuk menggalakkan perjanjian pengiktirafan bersama (MRA) bagi profesional mahir untuk memperluaskan peluang pekerjaan serta integrasi ekonomi serantau.

Menurutnya, Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bermula dengan kukuh dan proaktif, dengan inisiatif jelas bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi, keselamatan serantau, keberkesanan institusi serta daya tahan terhadap perubahan iklim.

"Menolak usaha ini pada peringkat awal tanpa menilai kesan jangka panjang adalah tidak wajar. Penilaian yang adil seharusnya menumpukan kepada kemajuan ketara yang akan berkembang sepanjang tahun, bukannya membuat kesimpulan terburu-buru selepas hanya sebulan," katanya.

Sementara itu, dalam artikel yang diterbitkan di Jakarta Post pada 3 Feb, Bridget Welsh, felo penyelidik kehormat di Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham Malaysia, menyatakan keraguan terhadap keterujaan mengenai Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

Beliau mendakwa tiada pelan konkrit bagi memenuhi jangkaan yang diletakkan ke atas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, selain berpendapat kepengerusian itu berisiko terlalu tertumpu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan ASEAN secara keseluruhan.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai pelantikan Thaksin Shinawatra sebagai penasihat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan