WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Trump Umum Rundingan Damai Ukraine-Rusia Akan Bermula ‘Segera’ 

13/02/2025 05:46 PM

WASHINGTON, 13 Feb (Bernama-UPI) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengumumkan bahawa beliau telah berbincang dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, dan kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menamatkan perang tiga tahun antara Rusia dan Ukraine. 

"Kami mahu menghentikan pertumpahan darah yang meragut jutaan nyawa dalam perang antara Rusia dan Ukraine.

"Kami bersetuju untuk bekerjasama rapat, termasuk mengadakan lawatan ke negara masing-masing.

“Kami juga memutuskan untuk mengarahkan pasukan kami memulakan rundingan serta-merta, bermula dengan menghubungi Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky bagi memaklumkan kepadanya mengenai perbincangan kami," kata Trump dalam satu kenyataan yang dikongsi dengan United Press International (UPI) pada Rabu. 

Trump menugaskan Setiausaha Negara Marco Rubio, Pengarah CIA John Ratcliffe, Penasihat Keselamatan Negara Michael Waltz, dan utusan khas Steve Witkoff untuk mengetuai rundingan bagi menamatkan konflik itu. 

"Jutaan nyawa terkorban dalam perang yang tidak akan berlaku jika saya menjadi presiden ketika itu. Namun ia telah berlaku, maka ia perlu dihentikan. Tiada lagi nyawa harus terkorban!" katanya.

Perbualan telefon selama 90 minit antara Trump dan Putin menandakan perbincangan langsung pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Trump mengangkat sumpah sebagai presiden pada 20 Jan lalu.. 

Trump menegaskan komitmennya untuk menamatkan perang dengan segera dan turut berbincang melalui telefon dengan Zelensky sejurus selepas perbualannya dengan Putin. 

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth berkata bahawa sebarang perjanjian damai antara Ukraine dan Rusia mesti merangkumi jaminan keselamatan kepada Ukraine tetapi tidak termasuk keanggotaan negara itu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). 

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar satu gabungan negara Eropah dan bukan Eropah menyediakan pasukan untuk mengekalkan kestabilan setelah keamanan dicapai, memandangkan keanggotaan Ukraine dalam NATO dianggap Rusia sebagai ancaman keselamatan. 

Hegseth turut menyifatkan harapan untuk Ukraine mendapatkan semula sempadan asalnya sebelum 2014 sebagai sesuatu yang "tidak realistik," memandangkan Rusia telah menduduki sebahagian besar wilayah timur dan selatan Ukraine sejak pencerobohan berskala penuh pada Februari 2022. 

-- BERNAMA-UPI 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan