KLANG, 17 Feb (Bernama) -- Pelabuhan Klang menyasarkan pengendalian 15 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) pada 2025 yang mewakili peningkatan sebanyak 2.3 peratus berbanding pada 2024.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini disokong oleh pertumbuhan positif ekonomi domestik, pembangunan projek-projek infrastruktur dan pertumbuhan kargo menerusi sektor pembuatan dan logistik.
Sasaran itu turut didorong oleh dasar-dasar kerajaan yang lebih mesra perdagangan, terutama dalam sektor logistik, katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Lembaga Pelabuhan Klang dan Peluncuran Sistem Tunggal Maritim Malaysia (MMSW) di KSL Convention Centre di sini, hari ini.
Beliau berkata pada 2024, Pelabuhan Klang telah mengendalikan sebanyak 14.64 juta TEU kontena atau peningkatan 4.5 peratus berbanding 2023 yang menyumbang sekitar 47.7 peratus daripada jumlah pengendalian kontena di Malaysia.
“Ini pencapaian tertinggi dan bersejarah di Pelabuhan Klang sejak memulakan operasi perkhidmatan pengendalian kontena pada 1973.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Lembaga Pelabuhan Klang dan kedua-dua terminal, Northport dan Westports serta pemain-pemain industri logistik. Ini menunjukkan Pelabuhan Klang terus memainkan peranan penting sebagai hab logistik serantau dengan rangkaian perkapalan diperkukuh ke destinasi utama di seluruh dunia,” katanya.
Selain itu, Loke berkata terdapat kemungkinan kedudukan Pelabuhan Klang dalam ranking Liga Pelabuhan Kontena sedunia akan naik ke tempat ke-10 walaupun pengumuman rasminya akan dibuat beberapa bulan akan datang.
“Adalah difahamkan pesaing lain seperti (Pelabuhan) Rotterdam dan Hong Kong telah mengumumkan pengendalian kontena yang berkurangan daripada Pelabuhan Klang.
“Selain Pelabuhan Klang, (kedudukan) Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor juga dijangka akan meningkat ke tempat ke-13 selepas mencatat pengendalian 12.2 juta TEU pada 2024,” katanya.
Malaysia juga, katanya, turut mencatat jumlah pengendalian kontena keseluruhan sebanyak 30.68 juta TEU pada 2024 yang meningkat 8.6 peratus berbanding 2023.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata sistem MMSW telah diperluas ke pelabuhan di seluruh negara, termasuk dilaksanakan sepenuhnya oleh Pelabuhan Klang pada 10 Jun, 2024.
Statistik bagi tempoh 1 Jun-31 Dis, 2024 menunjukkan sebanyak 10,682 buah kapal telah menggunakan sistem MMSW bagi semua proses ketibaan dan perlepasan kapal di pelabuhan-pelabuhan di seluruh negara.
“Jumlah ini akan terus meningkat seiring dengan penglibatan pelabuhan-pelabuhan dan jeti-jeti persendirian seluruh negara dari semasa ke semasa.
“Maklum balas diterima turut mengesahkan sistem MMSW berjaya meningkatkan kecekapan proses-proses perlepasan kapal melalui kaedah pendigitalan di samping mengurangkan beban kerja dan birokrasi,” katanya.
Berikutan itu, kata Loke, Kementerian Pengangkutan akan memperluaskan skop MMSW di bawah fasa kedua yang meliputi proses pengurusan kontena, termasuk pengesanan dan pemantauan pergerakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial