WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JHT Semiconductor Buka Fasiliti Pembuatan Tercanggih Di Pulau Pinang

18/02/2025 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- JHT Semiconductor Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh JHT Design Co Ltd, secara rasmi telah membuka fasiliti pembuatannya di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 15 Feb lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata perasmian fasiliti pembuatan itu menandakan langkah penting ke arah matlamat Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam ekosistem penjenteraan semikonduktor global.

"Projek ini adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan yang akan mengukuhkan peranan kami dalam rantaian bekalan global, memajukan kejuruteraan semikonduktor serta meningkatkan keupayaan penyelidikan.

“Tumpuan syarikat terhadap pengendali ujian canggih serta penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia mencerminkan komitmen kami dalam memacu pertumbuhan ekonomi, inovasi  teknologi dan memantapkan lagi kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global,” katanya.

Rick Cui ketika bercakap bagi pihak JHT Design Co berkata penubuhan JHT Semiconductor di Malaysia menandakan peristiwa penting dalam pengembangan global syarikat.

“Pengembangan ini menguatkan komitmen kami terhadap inovasi dan kecemerlangan. Lokasi strategik Malaysia termasuk kemantapan ekosistem semikonduktornya menjadikan ia sebagai hab yang ideal untuk operasi kami,” katanya lagi.

“Fasiliti ini akan meningkatkan pengeluaran, pembuatan serta khidmat selepas jualan syarikat, memastikan sokongan yang lebih baik kepada pelanggan. Kami berharap dapat memacu kemajuan teknologi dan memupuk perkongsian jangka panjang dalam industri semikonduktor,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, fasiliti Batu Kawan yang baharu ini dilengkapi dengan infrastruktur termaju yang direka untuk mengoptimumkan proses pengeluaran dan memastikan kualiti produk yang unggul. 

Katanya, pembangunan ini adalah sejajar dengan komitmen JHT Semiconductor untuk kecemerlangan teknologi dan meningkatkan kepelbagaian portfolio pengendali ujian litar bersepadu berprestasi tinggi itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan