WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UTP, Filipina Perkukuh Kerjasama Dalam Penyelesaian Halal Dan Tenaga Mampan

19/02/2025 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb  (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Kedutaan Malaysia di Filipina berkerjasama menganjurkan perbincangan Meja Bulat Industri bagi Teknologi Halal dan Keselamatan & Peralihan Tenaga di Manila, baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, UTP memaklumkan perbincangan itu menyentuh mengenai persilangan teknologi, industri halal serta penyelesaian tenaga mampan, selain memupuk kerjasama antara pemimpin akademik, kerajaan dan industri dari Malaysia dan Filipina.

Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino menjadi tetamu kehormat pada majlis tersebut dan menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Meja bulat ini berjaya mengumpulkan pihak berkepentingan utama termasuk pemimpin industri, penggubal dasar dan ahli akademik, dengan memfokus kepada kemajuan dalam industri halal dan menjamin keselamatan tenaga bagi kedua-dua negara serta rantau ASEAN secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dalam kenyataan sama berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Filipina atas kerjasama menganjurkan acara itu sekali gus memudahkan kerjasama rentas sektor. 

“Peralihan untuk penyelesaian tenaga selamat dan permintaan yang semakin meningkat bagi produk diperakui halal memerlukan pendekatan inovatif dan berteraskan teknologi, yang memerlukan kerjasama, perkongsian ilmu serta penyelesaian berbilang disiplin untuk memastikan hasil yang mampan,” katanya.

Beliau juga berkata kepakaran UTO dalam teknologi halal mampu menyokong visi kerajaan Filipina untuk memperluaskan dan mengukuhkan industri serta ekosistem halal di negara itu,

“Satu daripada kerjasama utama antara UTP dan Filipina ialah dalam ‘Halal Transparent Traceability System’ (HATTS), inisiatif rintis dibangunkan oleh UTP untuk meningkatkan kebolehkesanan dalam teknologi rantaian bekalan halal dan Internet benda (IoT) 

“Sistem ini sangat relevan terutama dalam rangkaian bekalan coklat Filipina, yang berpotensi untuk meningkatkan ketelusan dan pematuhan,” katanya.

Mohamed Ibrahim turut menegaskan bahawa UTP komited dalam memacu perubahan positif di Malaysia, Filipina dan seluruh ASEAN melalui kepakarannya dalam transformasi digital, kejuruteraan dan tenaga mampan. 

“Meja bulat ini mengukuhkan komitmen UTP terhadap kerjasama serantau, memacu kemajuan dan penyelesaian bersama bagi teknologi halal dan keselamatan tenaga, selaras dengan matlamat kerjasama ‘Quadruple Helix’ yang mengintegrasikan universiti, industri dan masyarkaat bagi penyelesaian dunia nyata yang mampan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan