WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PLKN 3.0 Berjaya Pupuk Disiplin Dan Semangat Patriotisme Generasi Muda

25/02/2025 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang berlangsung  selama 45 hari sejak 12 Jan lepas, menunjukkan kesan positif dalam membentuk jati diri dan disiplin yang tinggi dalam kalangan pelatih.

Di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi, program ini mendedahkan pelatih dengan latihan yang bukan sahaja menguji ketahanan fizikal tetapi kekuatan mental.

Seorang pelatih Muhammad Zuirfan Mustaqim Mohd Zukri, 18, berkata menerusi bimbingan jurulatih berpengalaman, PLKN 3.0 memberikan pengalaman berharga selain menjadikan mereka lebih peka terhadap pengurusan masa.

"Di sini, kami dilatih untuk bangun awal, mengikuti jadual yang ketat dan menjalani pelbagai aktiviti. Sebelum datang ke sini, saya susah berdisiplin mengurus masa, namun selepas menjalani latihan, saya kini lebih menepati masa.

"Latihan di sini walaupun pada peringkat awal agar sukar, namun dengan bantuan jurulatih dan rakan-rakan, saya berjaya melengkapkan semua latihan dan membuatkan saya lebih yakin," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis  Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.

Sebanyak 116 pelatih PLKN 3.0 siri pertama berjaya menamatkan latihan hari ini manakala empat pelatih gagal menghabiskannya berikutan masalah kesihatan dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran selain ada yang mewakili negara dalam kejohanan silat.

Sementara itu, seorang lagi pelatih daripada kaum Orang Asli Jakun Ivy Nurshafica Amaynie, 24, berkata pengalaman yang diperoleh akan digunakan untuk menyakinkan rakan-rakannya menyertai PLKN 3.0.

Berasal dari Perkampungan Orang Asli Kemidak, Johor Ivy Nurshafica berkata program itu banyak mengajarnya erti kerjasama dalam menyempurnakan sesuatu tugasan selain bersaing secara sihat dengan peserta lain.

"Antara latihan yang menarik dalam program ini termasuk menembak dan survival. Sebelum ke sini (sertai PLKN 3.0) saya takut dengan ketinggian, namun latihan abseiling berjaya membantu saya mengatasi masalah itu," katanya.

Ivy Nurshafica memaklumkan pengalaman yang diperoleh semasa program PLKN 3.0 itu juga akan dimanfaat untuk membantunya melalui temuduga kemasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) esok.

Seorang lagi pelatih Wong Wei Pin, 20, pula menyarankan agar tempoh program itu dipanjangkan sekurang-kurangnya tiga bulan supaya lebih banyak ilmu dapat diperoleh pelatih.

Dia yang bercita-cita hendak menjadi komando berkata minatnya terhadap pasukan elit tentera itu mendorongnya menyertai PLKN 3.0.

“Sejak kecil saya suka melihat perbarisan tentera dan filem berkaitan ketenteraan, saya bercita-cita menjadi komando dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sama ada di darat, udara atau laut,” katanya.

Pada 12 Jan lepas sebanyak 120 pelatih sukarela dari seluruh negara melapor diri bagi mengikuti PLKN 3.0 selepas tujuh tahun dimansuhkan.

Pelaksanaan semula program itu yang dijalankan secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan golongan muda di Malaysia, selain melengkapkan mereka dengan ketahanan menghadapi cabaran hidup menerusi pengalaman latihan fizikal dan mental.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan