PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Seorang penganggur memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mengekalkan hukuman mati terhadapnya atas kesalahan membunuh seorang juruteknologi pergigian tujuh tahun lalu, sekiranya panel hakim menolak rayuannya terhadap sabitan tersebut.
Permintaan itu dibuat oleh perayu, Abdul Malik Rosli, 27, menerusi peguam dilantik mahkamah, S. Karthigesan, semasa mitigasi selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati itu dengan penjara 30 tahun.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin turut menjatuhkan hukuman sebatan 12 rotan ke atas Abdul Malik.
Karthigesan, yang mewakili Abdul Malik, mengesahkan keputusan mahkamah kepada Bernama.
Beliau berkata mahkamah juga mengarahkan agar Abdul Malik menjalani hukuman penjara bermula pada tarikh tangkapan pada 31 Jan 2018.
Beliau berkata mahkamah memutuskan bahawa kes Abdul Malik tidak termasuk dalam kategori "teramat jarang berlaku" yang membolehkan beliau dijatuhi hukuman mati.
Karthigesan berkata beliau juga telah memaklumkan kepada mahkamah semasa mitigasi bahawa beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk memohon agar hukuman mati dikekalkan sekiranya rayuan terhadap sabitan beliau ditolak.
Abdul Malik didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada Oktober 2022 kerana membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28, di tingkat empat kuarters klinik kesihatan Lukut di Port Dickson pada pukul 1.40 pagi, 19 Januari 2018.
Mayat Mahussin ditemui oleh rakannya 72 jam selepas beliau dilaporkan hilang apabila gagal hadir ke tempat kerja pada 22 Januari 2018.
Abdul Malik masih mempunyai satu peluang lagi untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Rafidah Zainuddin mewakili pihak pendakwaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial