WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Keputusan OPR Dijangka, Pendirian Dasar Semasa Sokong Pertumbuhan Ekonomi - MIDF, RHB IB

06/03/2025 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Keputusan Bank Negara Malaysia’s (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus semasa mesyuarat dasar monetari Mac 2025 dijangka secara meluas, menggariskan pendirian dasar kondusif semasa untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata ini konsisten dengan penilaian semasa pertumbuhan ekonomi serta inflasi. Ia menjangkakan permintaan domestik dan luaran akan memacu pertumbuhan.

"Walaupun wujud ketidakpastian luaran, kekuatan dalam aktiviti ekonomi dijangka dapat dikekalkan pada tahun ini melalui sokongan permintaan domestik. Pertumbuhan pekerjaan serta upah, selain langkah-langkah dasar termasuk semakan upah minimum dan gaji penjawat awam, akan memacu perbelanjaan isi rumah," kata MIDF melalui satu nota penyelidikan hari ini.

"Di dalam negara, walaupun asas-asasnya adalah kukuh, kenaikan kos dan perubahan dasar mungkin menghalang permintaan melalui inflasi yang lebih tinggi," katanya.

MIDF berkata inflasi dijangka menokok disebabkan oleh tekanan sampingan, seperti pelarasan dasar serta peningkatan kos tetapi "masih terkawal".

"BNM mempunyai fleksibiliti dasar yang diperlukan bagi bertindak balas terhadap ketidakpastian ekonomi masa depan terutama yang berpunca daripada keadaan ekonomi domestik dan prospek inflasi yang berkembang di Malaysia," katanya.

MIDF berkata ia tetap berwaspada dengan perang perdagangan yang sedang memanas antara Amerika Syarikat dengan rakan dagangannya, yang akan mengakibatkan peningkatan perlindungan, yang dijangka akan menjejaskan ekonomi global.

"Fragmentasi selanjutnya" akan melembapkan perdagangan, mengakibatkan kelembapan global yang mungkin mempengaruhi trajektori OPR.

RHB Investment Bank Bhd pula meramalkan OPR akan kekal pada 3.00 peratus untuk sepanjang tahun, dengan anggapan prospek ekonomi terus "stabil" dan tekanan inflasi masih "boleh ditangani".

Tiga faktor akan memacu trajektori OPR iaitu momentum ekonomi Malaysia, trajektori inflasi dan yang paling bawah, kadar faedah global.

Risiko inflasi dijangka tetap lemah pada tahap ini, tetapi trajektori inflasi bergantung kepada langkah -langkah penyasaran subsidi; skop pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan; pendapatan dan permintaan isi rumah serta harga komoditi global.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan