WILAYAH - TIMUR > BERITA

Kelantan Rombak Jurulatih Beberapa Acara Sukan Sebagai Persiapan Hadapi Sukma 2026

08/03/2025 12:05 PM

Oleh Azli Shafii

KOTA BHARU, 8 Mac (Bernama) -- Kontinjen Kelantan melakukan rombakan terhadap 16 jurulatih sukan negeri sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Negeri Zamakhshari Muhamad berkata antara sukan terlibat ialah angkat berat, badminton dan berbasikal.

"Selain itu gimnastik artistik, judo, memanah, menembak, muaythai, pencak silat, pelayaran, skuasy, tinju dan wushu, turut mengalami rombakan yang bakal menyaksikan pengambilan jurulatih dilantik secara sepenuh masa.

"Bagi pelantikan separuh masa pula, ia melibatkan sukan bola tampar dewan, tenpin boling dan akuatik," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Zamakhshari berkata pelantikan jurulatih baharu ini adalah sebahagian daripada persiapan awal yang dilakukan pihaknya bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan untuk menghadapi temasya dwi tahunan itu.

"Di Sukma Selangor, sasaran kami adalah untuk meningkatkan pencapaian berbanding Sukma Sarawak sebelum ini, dengan menaiki dua atau tiga anak tangga dalam kedudukan keseluruhan.

"Di Sarawak, kontinjen Kelantan membawa pulang 37 pingat yang terdiri daripada tujuh emas, 13 perak dan 17 gangsa, sekali gus berada di kedudukan ke-14 daripada 15 kontinjen yang bertanding," katanya.

Sementara itu Zamakhshari berkata beliau telah membentangkan status terkini kerja-kerja pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau (Madinah Ar Raidhah) serta persiapan Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2028.

Beliau berkata pembentangan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

"Mesyuarat berpuas hati dengan persiapan Kelantan dan MSN akan mengeluarkan surat lantikan rasmi kepada Kelantan dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan