WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Suruhanjaya Tinggi Malaysia Di Namibia Anjur Iftar

08/03/2025 05:02 PM

 

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia pada Jumaat menganjurkan majlis berbuka puasa yang dihadiri lebih 40 tetamu jemputan bagi memupuk perpaduan dan solidariti sempena Ramadan yang mulia.  

Dalam ucapannya, Kuasa Usaha Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya berkata penganjuran iftar itu juga sebahagian daripada usaha membantu golongan kurang berkemampuan sepanjang Ramadan selain mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Namibia.  

Beliau berkata walaupun umat Islam hanya membentuk satu hingga dua peratus daripada 3.1 juta penduduk negara itu, semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Namibia kekal kukuh.  

“Perhimpunan ini bukan sahaja memupuk hubungan antara kedua-dua negara, tetapi juga membolehkan rakyat Namibia merasai budaya kemurahan hati dan perpaduan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.  

Majlis berbuka puasa itu diadakan di kediaman rasmi Mohamad Rameez dan isterinya, Datin Noorzulaikha di Kompleks Eucalyptus di Windhoek.  

Antara tetamu terkemuka yang hadir ialah Presiden Majlis Islam Namibia Dr Samaan D. Jacobs yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Namibia serta Pesuruhjaya Tinggi Ghana ke Namibia Yakubu Alhassan dan diplomat dari Algeria, Indonesia, Ghana dan Nigeria.  

Para tetamu disajikan dengan pelbagai juadah tradisional Malaysia seperti Nasi Minyak, Kurma Ayam, Daging Masak Hitam, Dhall Ubi, Kaki Kambing Panggang, Salad Thairu, Air Sirap Bandung dan Teh Tarik Halia.

Mereka turut menunaikan solat Isyak dan Tarawih sebelum mengakhiri malam dengan Moreh, iaitu hidangan selepas solat yang menampilkan Bubur Lambuk, kopi dan Teh Tarik ala Malaysia.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan