Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
KUALA LUMPUR, 9 Mac -- Di sebalik kemeriahan bazar Ramadan dan suasana perayaan di Kuala Lumpur, realiti berbeza menyelubungi kehidupan suram golongan gelandangan di bandar raya ini.
Bagi golongan itu, Ramadan bukan sekadar bulan menjalani ibadah puasa tetapi waktu untuk merenung kepayahan mereka mengharungi liku-liku kehidupan sebagai gelandangan.
Mohd Ibrahim Daud, 41, yang sudah enam tahun menghabiskan usia bergelandangan di kaki lima, Ramadan membawa perasaan rindu yang mendalam buat dirinya.
“Dulu Ramadan cukup bermakna bagi saya kerana dapat berkumpul bersama keluarga, solat dan menikmati juadah berbuka puasa yang istimewa. Kini ia lebih kepada bagaimana untuk meneruskan hidup, mendapatkan makanan, minuman dan tempat berlindung,” katanya sambil duduk beralaskan konkrit di bawah jejantas di Chow Kit.
Luahan Mohd Ibrahim itu, satu daripada cebisan kisah mereka yang tinggal di kaki lima Kuala Lumpur, tanpa tempat berteduh dan bergelumang kesukaran terutama semasa Ramadan, tatkala insan lain berkumpul menikmati pelbagai juadah berbuka puasa mereka masih tercari-cari keperluan asas.
Namun, di sebalik segala cabaran itu, semangat kemasyarakatan dan keikhlasan jelas terpancar, apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama masyarakat setempat berganding bahu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Pengerusi Pertubuhan Jejak Jalanan (PJJ) Shahdattul Olivia Ferranee Imelda Taib, 44, berkata program Ramadan anjuran mereka bukan sekadar menyantuni golongan gelandangan malah membuka ruang bagi mereka untuk merasai keindahan serta keberkatan bulan suci ini dengan lebih bermakna.
Beliau berkata sepanjang Ramadan PJJ mengagihkan kira-kira 200 bungkusan makanan setiap hari selain menyediakan kawasan yang selesa untuk mereka berkumpul menunaikan solat tarawih.
"Ada sebahagian daripada mereka segan untuk menunaikan solat di masjid atau surau kerana kekurangan yang ada. Jika mereka tidak dapat ke masjid, kami sediakan ruang yang selesa untuk mereka menunaikan kewajipan sambil merasakan mereka juga dihargai. Kami ingin mereka menikmati indahnya Ramadan sama seperti insan yang lain.
"Sepanjang tujuh hari kita sudah berpuasa, mereka senantiasa menantikan dengan penuh harapan. Sebaik khemah dibuka pada 6.30 petang, ramai sudah berkumpul, bukan hanya untuk menikmati juadah malah untuk menunaikan solat,” katanya sambil berharap lebih banyak NGO dan agensi kerajaan bersama menyokong usaha ini.
Program malam ini turut diserikan dengan tahlil dan selawat yang disertai oleh sukarelawan dari KomunitiKL serta penuntut Universiti Multimedia.
Sementara itu, sukarelawan KomunitiKL Nurul Zayani Yahya, 34, kehadiran mereka sedikit sebanyak meringankan beban dan memberikan secebis kegembiraan kepada mereka yang dihimpit kemiskinan dalam menjalani kehidupan sepanjang Ramadan ini.
“Sepanjang Ramadan, kami ada menerima laporan mengenai beberapa golongan asnaf yang terdesak sehingga mahu membunuh diri. Syukur, kami dapat membantu dan menyelamatkan mereka. Apa yang paling bermakna bukan sekadar makanan yang dihulurkan tetapi kehadiran kami membantu menyelamatkan nyawa," katanya.
Nurul Zayani turut berkongsi kisah yang sangat menyayat hati yang berlaku pada minggu lepas apabila seorang bapa yang tertekan kerana kesukaran mendapatkan makanan untuk keluarganya cuba membunuh diri.
“Dia buntu dan tidak tahu ke mana hendak dituju untuk mendapatkan makanan dalam bulan puasa. Tetapi Alhamdulillah, kami sempat membantunya dan kini dia kerap mengunjungi pusat kami untuk bersolat dan mendapatkan bantuan. Bagi mereka sikap keprihatinan amat bermakna buat mereka untuk meneruskan perjuangan hidup,” katanya.
Wartawan turut berpeluang merasai pengalaman berbuka puasa bersama golongan gelandangan. Walaupun sekadar juadah nasi bersama ayam, tembikai, dan minuman namun cukup bermakna apabila dapat dinikmati dalam suasana penuh keikhlasan serta kebersamaan.
Pengalaman itu bukan sahaja memperlihatkan cabaran yang dihadapi oleh golongan gelandangan pada Ramadan malah turut mempamerkan mengenai kekuatan semangat kemasyarakatan, kemurahan hati sesama insan, dan bagaimana bantuan yang dihulurkan menyuntik sinar harapan meskipun pada detik-detik paling mencabar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial