WILAYAH - SELATAN > BERITA

Lebih 4,800 Kg Lebihan Makanan Bazar Ramadan Di N.Sembilan Diselamatkan Tahun Lepas

08/03/2025 03:47 PM

SEREMBAN, 8 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berjaya menyelamatkan 4,872.36 kilogram (kg) lebihan makanan bernilai RM53,595 menerusi kempen MYSaveFood di beberapa bazar Ramadan di Negeri Sembilan tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam Negeri, J. Arul Kumar berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 4,547.10 kg lebihan makanan dengan nilai RM50,279.

Menurutnya, program itu bukan sahaja membantu golongan memerlukan melalui pemberian makanan dan minuman yang tidak terjual secara percuma, malah turut mengurangkan penghantaran sisa makanan ke tapak pelupusan.

"Program ini adalah satu sistem pengurusan yang strategik dalam usaha mengurangkan pembaziran dengan menyelamatkan lebihan makanan dan minuman di bazar Ramadan seluruh negeri.

"Lebihan makanan yang tidak terjual akan dikumpulkan dan diagihkan kepada pelajar, rumah kebajikan, masjid serta surau untuk jamuan moreh, selain turut diberikan kepada golongan gelandangan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Nilai itu berkata pihaknya menyasarkan peningkatam kepada 5,000 kg lebihan makanan untuk diselamatkan pada tahun ini berikutan pertambahan jumlah peniaga.

"Program ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada peniaga bazar yang memberi kerjasama baik dengan menyumbangkan lebihan makanan mereka," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kempen MYSaveFood selama 10 hari itu dikendalikan oleh SWCorp dengan kerjasama Pemuda GEMA Negeri Sembilan dan kini memasuki tahun keenam penganjurannya, melibatkan enam bazar Ramadan termasuk di Bandar Baru Nilai.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua penganjur bazar Ramadan supaya tidak menyewakan tapak niaga kepada warga asing. Pihak berkuasa tempatan, katanya, akan terus menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan hanya peniaga yang sah dibenarkan beroperasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan