WILAYAH - TENGAH > BERITA

Pencapaian Tahap Satu Malaysia Perlihat Kemajuan Penting Daya Tahan Siber 

10/03/2025 05:02 PM

CYBERJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Pencapaian Malaysia dalam Indeks Keselamatan Siber Global pada Tahap Satu tahun lepas menekankan kemajuan penting negara dalam memperkukuh daya tahan siber.

Pengarah Kanan Jualan Teknikal Strategik BlackBerry Asia Pasifik Jonathan Jackson berkata pencapaian ini mencerminkan usaha proaktif kerajaan untuk melindungi infrastruktur digital negara.

Bagaimanapun Jackson berkata pengiktirafan sedemikian turut menjadikan Malaysia sebagai sasaran utama penjenayah siber yang semakin menumpukan kepada sasaran bernilai tinggi.

Walaupun berdepan risiko, Jackson memuji usaha kerajaan untuk mengurangkan kerentanan.

"Ini menunjukkan bahawa Malaysia telah mengambil langkah proaktif yang membanggakan untuk menambah baik daya tahan siber negara.

“Bagaimanapun, ini juga membimbangkan memandangkan ia mempunyai risiko," katanya pada persidangan meja bulat media di sini hari ini.

Pada Disember tahun lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian untuk Industri Komunikasi dan Multimedia (INSG) untuk mempertingkat keselamatan maklumat dan rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia di negara ini.

Senada dengan Jackson, Ahli MCMC Derek John Fernandez menekankan keperluan untuk rakyat Malaysia mengamalkan tabiat keselamatan siber asas tetapi berkesan untuk melindungi peranti mereka.

Amalan ini yang dikenali sebagai "phone hygiene" atau amalan keselamatan dan penjagaan telefon yang baik, adalah penting untuk mengurangkan kerentanan yang mungkin dieksploitasi oleh penjenayah siber, kata Fernandez.

“Antara langkah mudah tetapi berkesan adalah mematikan telefon bimbit pada waktu malam. Ini menghalang capaian tanpa kebenaran apabila peranti tidak digunakan, memandangkan membiarkan ia dihidupkan meningkatkan peluang pendedahan kepada potensi ancaman siber,” katanya.

Fernandez berkata but semula telefon dengan kerap turut membantu memastikan integriti sistem dan menutup mana-mana penggodam pintu belakang yang mungkin cuba mengakses manakala memasang perisian antivirus dan mengemas kini peranti secara konsisten boleh merapatkan jurang keselamatan dan menghalang perisian hasad daripada menembusi sistem.

Sehubungan itu katanya, perlindungan yang lebih menyeluruh perlu dipertingkatkan bagi membendung jenayah siber termasuk cadangan untuk memperkenalkan “tempoh bertenang 48 jam” bagi transaksi kewangan sebagai langkah pencegahan.

"Langkah pencegahan ini adalah antara usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber dalam kalangan orang ramai memandangkan lebih ramai individu bergantung kepada peranti mudah alih bagi tujuan komunikasi peribadi dan perniagaan.

“Penjenayah siber terus meluaskan taktik mereka, menyebabkan adalah penting untuk pengguna mengambil langkah proaktif bagi melindungi diri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan