WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Astro Sedia Beri Kerjasama Dalam Siasatan MCMC

06/03/2025 12:37 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Astro Audio akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung siasatan terhadap kandungan yang dimuat naik di akaun media sosial stesen radio ERA.

Astro Audio dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil maklum kenyataan dikeluarkan oleh MCMC dan akan menyediakan maklum balas seperti yang diminta.

"Kami juga mengambil maklum Notis Niat Penggantungan Lesen dan akan mengemukakan maklum balas rasmi mengikut tempoh masa yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Astro Audio berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan komited untuk mematuhi standard peraturan serta garis panduan komuniti di setiap platform yang dikendalikan.

Pada masa sama, Astro Audio turut menzahirkan rasa kesal dengan insiden yang berlaku dan kesulitan dialami.

Pada 4 Mac lepas, MCMC telah diarahkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tiga penyampai radio ERA, yang dilihat sedang mempersendakan upacara agama lain.

MCMC dalam kenyataan semalam memaklumkan pihaknya telah memanggil pengurusan tertinggi Astro bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan