SHAH ALAM, 10 Mac (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan sebuah pusat hiburan mengalami patah di bahagian pinggul akibat dilanggar kereta ketika cuba meleraikan pergaduhan, di Bandar Botanik, Klang awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Foong berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, lelaki warga tempatan berusia 33 tahun berkenaan merupakan seorang daripada beberapa pengawal keselamatan yang cuba meleraikan pergaduhan antara pelanggan sebelum seorang suspek bertindak melanggar mangsa.
"Mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang. Selain patah tulang pinggul kanan, mangsa juga mengalami luka di bahagian perut namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata punca pergaduhan masih disiasat dan polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun kira-kira 3.30 petang tadi.
Semakan menunjukkan suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan satu rekod kesalahan dadah manakala kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan 148 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan pergaduhan di antara beberapa pihak dengan keadaan memuncak apabila seorang individu dilanggar sebuah kereta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial