WILAYAH - UTARA > BERITA

Ibadah Korban Pupuk Semangat Ihsan, Tonggak Utama Malaysia Madani - Shamsul Iskandar

07/06/2025 02:33 PM

Oleh Razif Rosli

IPOH, 7 Jun (Bernama) -- Ibadah korban merupakan landasan terbaik bagi masyarakat di negeri ini menjaga keharmonian, keamanan dan perpaduan dalam satu komuniti selaras gagasan Malaysia MADANI.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata satu daripada enam tonggak utamanya ialah ihsan kepada semua pihak.

Beliau berkata ihsan ditafsirkan cukup sinonim dengan makna peduli dan belas kasihan iaitu mengasihi orang lain, merangkumi ahli keluarga, jiran tetangga dan anggota masyarakat secara keseluruhan termasuk golongan minoriti.

“Pelaksanaan ibadah korban juga mempunyai kepentingan dari aspek ekonomi dan sosial yang boleh diterjemahkan melalui agihan daging korban yang meliputi serata sosial masyarakat sama ada miskin atau kaya.

“Perdana Menteri sendiri menekankan bahawa adalah amat penting bagi masyarakat untuk kembali kepada falsafah ibadah korban iaitu membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya ditemui Bernama pada Program Sembelihan Lembu Korban di Masjid Jamek Al-Amin, dekat Tambun hari ini. 

Shamsul Iskandar berkata sebanyak 126 ekor lembu korban disumbangkan oleh Perdana Menteri untuk peringkat Parlimen Tambun bagi diagihkan kepada masjid dan surau kawasan Parlimen tersebut.

“Bilangan lembu yang disumbangkan tahun ini meningkat berbanding tahun lepas kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memastikan semua masjid dan surau dapat menjalankan ibadah korban.

“Kita juga telah maklumkan kepada semua pengerusi masjid dan surau, agar pastikan setiap sumbangan daging korban dapat diagihkan kepada seramai mungkin terutamanya golongan keluarga B40,” katanya.

Beliau berkata sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Perdana Menteri bagi membantu masyarakat khususnya dalam golongan yang memerlukan dan pada masa sama meneruskan budaya bergotong-royong dalam melakukan ibadah korban.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan