WILAYAH - SELATAN > BERITA

Henti Kenyataan Sentuh Sensitiviti Ibadah Korban - Zulkifli

09/06/2025 06:54 PM

BATU PAHAT, 9 Jun (Bernama) -- Semua pihak termasuk golongan selebriti diingatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti berkaitan ibadah korban.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pelaksanaan ibadah korban di negara ini sentiasa berpandukan hukum syarak serta dipantau oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi memastikan segala proses penyembelihan dilakukan mengikut ketetapan agama dan undang-undang.

“Saya nasihatkan semua pihak… Tidak kiralah dia itu artis atau orang awam, berhati-hatilah ketika mengeluarkan kenyataan. Usahlah membuat ulasan berkaitan isu ini.

“Ibadah korban telah lama dijalankan tanpa sebarang isu, tiba-tiba ia dibangkitkan. Janganlah timbulkan lagi perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Peduli Komuniti MADANI (KAPKOM) 2025 di Kampung Orang Asli Bumiputera Dalam, Rengit hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Miss World Malaysia 2009 Thanuja Ananthan, 40, yang mempersoalkan amalan penyembelihan haiwan ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.

Mengulas lanjut, Zulkifli menegaskan ibadah korban perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan serta mematuhi ketetapan yang telah digariskan dalam Islam.

KAPKOM bertujuan menyatuni komuniti setempat yang terdiri daripada asnaf, fakir miskin serta masyarakat Orang Asli, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI menerusi pelbagai aktiviti seperti pelaksanaan ibadah korban, latihan dan demonstrasi sembelihan serta Bengkel Smart Solat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan