WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Asman Shah Dilantik Setiausaha Kerajaan Johor Yang Baharu

07/07/2025 03:51 PM

JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) Datuk Asman Shah Abd Rahman, hari ini mengangkat sumpah jawatan dan sumpah taat setia sebagai Setiausaha Kerajaan Johor yang baharu, menggantikan Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Tunku Mahkota Ismail berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Penyerahan Surat Tauliah, Sumpah Jawatan dan Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Johor itu di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di sini hari ini. 

Istiadat tersebut turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli. 

Asman Shah sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) sejak 1 Okt tahun lepas, manakala Azmi pula kini dilantik sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara bermula 1 Julai.

Asman Shah, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Chiba, Jepun sebelum ini pernah menyandang jawatan seperti Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Bandar Pasir Gudang, Pengarah Tourism Johor serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor.

Sementara itu Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini menzahirkan kesyukuran atas pelantikan tersebut dan berharap agar Asman Shah dapat meneruskan kesinambungan kecemerlangan dan kemajuan negeri itu.

“Kita yakin bahawa dengan pelantikan beliau, insya-Allah Johor akan terus maju dan kita akan bekerjasama baik demi menjaga dan juga membangunkan negeri Johor yang kita semua sayangi ini. 

“Tidak lupa juga setinggi penghargaan kepada mantan Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani yang telah berkhidmat di Johor selama kira-kira lapan tahun. Begitu banyak jasa dan budi yang telah ditaburkan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Ladang Menegak Dalam Bangunan di Farmbyte Archisen di Taman Perindustrian Nusajaya di Iskandar Puteri, hari ini.

Onn Hafiz juga percaya Azmi mampu membantu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam menjalankan tugas-tugas rasmi dan hal ehwal pengurusan Istana Negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan