WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kemuncak MBD Berisiko Cetus Jerebu Setempat, Rentas Sempadan – JBPM Johor

09/07/2025 11:37 AM

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Kemuncak Monsun Barat Daya (MBD) antara Julai hingga September ini berpotensi mencetuskan fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Siti Rohani Nadir berkata walaupun musim MBD tahun ini dijangka tidak ekstrem berikutan corak iklim El Niño Southern Oscillation (ENSO) berada dalam fasa neutral, keadaan cuaca kering yang berpanjangan masih boleh membawa kesan lain.

“Antara kesan yang boleh berlaku termasuk dari segi kesihatan, bekalan air, kebakaran hutan dan belukar serta sektor pertanian. Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap risiko kesihatan akibat cuaca panas termasuk dehidrasi dan strok haba.

“Oleh itu, adalah penting untuk mengurangkan aktiviti luar pada waktu tengah hari, memakai pakaian yang sesuai dan memastikan pengambilan air mencukupi sepanjang hari,” katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Siti Rohani turut menyarankan orang ramai agar sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan cuaca panas dan kebakaran sepanjang tempoh MBD.

Menurut beliau, sebanyak 108 kes kebakaran terbuka direkodkan di Johor sejak bermulanya Monsun Barat Daya pada Mei lepas hingga awal Jun, dengan 103 daripadanya melibatkan kawasan bukan tanah gambut.

“Cuaca panas dan kering, selain aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal dikenal pasti sebagai punca utama kejadian ini.

“Berdasarkan pemantauan, kebakaran terbuka di kawasan belukar yang bukan tanah gambut menyumbang sebanyak 54.36 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan, diikuti kebakaran sampah (29.11 peratus), ladang atau kebun (9.98 peratus) serta longgokan kayu atau sisa kayu (1.89 peratus).

“Sebaliknya, hanya lima kes kebakaran tanah gambut direkodkan, yang kebanyakannya berpunca daripada pembakaran sampah. Kebakaran tanah gambut lazimnya lebih mencabar untuk dipadamkan kerana sifat tanahnya yang boleh menyimpan bara api dalam tempoh yang lama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia sukar dikawal serta boleh menjejaskan kualiti udara dan kesihatan. Beliau turut menggesa agar laporan segera dibuat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kejadian kebakaran terbuka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan