SEPANG, 13 Julai (Bernama) -- Kumpulan terbesar kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 berlepas ke Rhine-Ruhr, Jerman malam ini dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seramai 41 individu yang mewakili sukan badminton, renang, taekwondo serta pegawai pasukan termasuk anggota perubatan dan media, berlepas menerusi penerbangan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu sebelum meneruskan perjalanan ke Düsseldorf.
Daripada jumlah itu, 15 membabitkan sukan badminton, lapan (renang), 11 (taekwondo), manakala tujuh lagi adalah pegawai pengiring.
Upacara pembukaan rasmi WUG 2025 dijadual berlangsung di Schauinsland-Reisen-Arena pada Rabu ini (16 Julai).
Malaysia menyasarkan kutipan tujuh pingat tanpa mengira warna pada edisi kali ini, dengan penyertaan 64 atlet terdiri daripada 39 lelaki dan 25 wanita dalam enam daripada 19 jenis sukan yang dipertandingkan.
Enam acara sukan yang disertai kontinjen negara ialah gimnastik artistik, badminton, memanah, olahraga, renang dan taekwondo.
Antara sandaran utama negara ialah jaguh pecut kebangsaan Muhammad Azeem Mohd Fahmi; pemegang rekod 400 meter kebangsaan Umar Osman serta trio pemanah wanita negara yang turut beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 — Syagiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil.
Pada edisi 2023 di Chengdu, China, Malaysia mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaannya di WUG dengan kutipan satu pingat emas, satu perak dan lima gangsa.
Temasya WUG 2025 yang menghimpunkan kira-kira 8,500 atlet dari 150 negara akan berlangsung dari 16 hingga 27 Julai ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial