WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Perlu Gubal Undang-Undang Haramkan Vape Mengandungi Bahan Terlarang

16/07/2025 04:56 PM

KUCHING, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan perlu menggubal undang-undang bagi mengharamkan penggunaan vape yang kini semakin membimbangkan, terutama apabila ia disalahgunakan dengan campuran bahan terlarang seperti dadah sintetik.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah aspek pelaksanaan penguatkuasaan dan kawalan dari sudut kesihatan awam, bagi memastikan vape tidak terus menjadi ancaman kepada masyarakat khususnya generasi muda.

“Pada awal kemunculannya, vape dilihat sebagai alternatif yang baik kepada rokok namun dari semasa ke semasa ia berkembang dan disalahgunakan hingga menjadi alat untuk ketagihan serta berhalusinasi,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pemadam Negeri Sarawak berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di sini hari ini.

Abdul Karim berkata kerajaan perlu mempertimbangkan secara serius dari sudut perundangan sama ada vape wajar diharamkan sepenuhnya atau hanya membenarkan penggunaan vape yang mengandungi nikotin, seakan rokok.

“Semuanya bergantung kepada keputusan tersebut, mungkin tidak wajar juga untuk mengharamkan vape secara total namun jika ia melibatkan bahan terlarang seperti ‘(magic) mushroom’ dan sebagainya, undang-undang yang tegas perlu diwujudkan,” katanya.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, Sarawak mencatatkan kadar penggunaan vape tertinggi di Malaysia dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, dengan kadar prevalens sebanyak 20.3 peratus melibatkan 39,608 individu.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan