WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAA Gesa Dasar Lebih Konsisten Di Bawah RMK-13 Untuk Tingkat Industri Automotif

16/07/2025 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menggesa dasar yang lebih konsisten dan telus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk memastikan daya saing jangka panjang industri automotif Malaysia, khususnya ketika peralihan kepada kenderaan elektrik dan hijau.

Presiden MAA Mohd Shamsor Mohd Zain berkata dasar yang konsisten penting bagi pengeluar peralatan asal (OEM) untuk melabur dan merancang dengan lebih berkesan.

“Saya fikir rancangan yang sedang dikaji kerajaan dari segi tenaga hijau baharu dan sebagainya adalah sesuatu yang dinanti-nantikan sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju tenaga negara.

"Dari segi pertumbuhan negara, kita perlu meningkatkan teknologi dan pelaksanaan kita. (Oleh itu), perkara seperti solar, hidrogen dan (lain-lain) mungkin juga sedang dipertimbangkan (dalam RMK-13)," katanya.

Mohd Shamsor berkata demikian selepas menghadiri sesi Tinjauan Semula Prestasi Peniaga dan Pengeluar Motor bagi Separuh Pertama 2025 yang diadakan di sini, hari ini.

Sementara itu, naib presiden (pembuatan) MAA Sarly Adle Sarkum berkata salah satu kebimbangan utama bagi OEM di Malaysia ialah elemen konsisten dalam RMK-13.

“Apabila kerajaan melaksanakan RMK-13, apa yang kita mahu adalah (pelaksanaan) yang konsisten, yang mana sangat penting bagi mana-mana OEM untuk merancang program jangka panjang atau sebarang model.

“Jika anda membuat keputusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun dan kemudian tiba-tiba anda mengubahnya, ia akan mengubah keseluruhan situasi bagi seluruh industri,” katanya

RMK-13 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 28 Julai ini, selepas berakhirnya RMK-12 pada 2025. 

Pelan lima tahun itu akan meliputi tempoh dari 2026 hingga 2030, memfokuskan pada pengukuhan keupayaan Malaysia dalam bidang seperti kecerdasan buatan dan akan menggabungkan input daripada maklum balas pelbagai pihak berkepentingan.

Sementara itu, Mohd Shamsor berkata dengan reformasi subsidi bahan api yang sedang berjalan, MAA menjangkakan mekanisme penetapan harga bahan api, termasuk untuk RON95, akan menjadi sebahagian daripada pelan hala tuju RMK-13.

Beliau berkata industri itu bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mencapai mekanisme yang mengimbangi disiplin fiskal dengan pertumbuhan industri, termasuk menggalakkan penyelesaian mobiliti bersih solar, hidrogen dan lain-lain.

Menurutnya, persatuan itu turut menumpu terhadap potensi kesan riak tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas industri automotif Malaysia, yang boleh memberikan cabaran kepada sektor tempatan.

“Saya fikir kebimbangan kami dari segi tarif lebih kepada bahagian dan aksesori kenderaan bermotor, (yang berjumlah) hampir US$100 juta (US$1=RM4.24) atau kira-kira 80 peratus daripada jumlah eksport kenderaan kami,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan