WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sindiket Penyeludupan Migran Tumpas, 12 Warga Asing Ditahan Dalam Serbuan Di Setapak

16/07/2025 10:31 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Taktik licik sindiket penyeludupan manusia yang menggunakan inap desa sebagai lokasi transit terbongkar, selepas polis menyerbu sebuah unit apartment di Setapak dan menahan 12 warga asing.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata serbuan pada 9 malam itu, dilakukan hasil risikan dan maklumat yang diterima.

“Empat daripada yang ditahan iaitu tiga lelaki dan satu wanita berusia 22 hingga 31 tahun dipercayai merupakan anggota kumpulan sindiket Geng Roni, yang disyaki berperanan sebagai ejen, tekong darat dan penjaga di rumah transit terbabit.

“Manakala lapan lagi tangkapan iaitu empat warga Indonesia serta empat warga Bangladesh, berusia 27 hingga 41 tahun, merupakan migran yang hendak keluar dari negara ini ke Indonesia, menggunakan laluan tidak diwartakan. Dua daripada mereka wanita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Soffian berkata siasatan awal mendapati, sindiket ini mula bergerak aktif sejak tiga bulan lepas dengan mengiklankan perkhidmatan mereka di media sosial dan mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM1,700 bagi setiap migran yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 15(1) (c) akta yang sama.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan