WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WUG 2025: Hoe Yean Mara Ke Final 400m Gaya Bebas

17/07/2025 07:03 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

ESSEN (Jerman), 17 Julai (Bernama) -- Jaguh renang negara Khiew Hoe Yean menepati ramalan apabila mara ke final acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 yang berlangsung di Schwimm-und Sprunghalle im Europasportpark, Berlin, hari ini.

Lebih membanggakan, keputusan itu menyaksikan pemegang rekod kebangsaan acara 400m gaya bebas berkenaan memperbaiki pencapaiannya selepas terkandas awal pada edisi lalu di Chengdu, China.

Dalam saringan kelima, Hoe Yean menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 3 minit 50.13 saat (s), di belakang perenang Amerika Syarikat, Ryan James Erisman Jr (3:48.81s) dan Nikolai Kolesnikov yang mewakili Atlet Neutral Individu (3:48.75s).

Catatan itu meletakkan perenang berusia 22 tahun itu dalam kelompok empat terbaik keseluruhan yang mara ke final, bersama wakil Brazil, Eduardo Oliveira de Moraes (3:48.84s) yang mendominasi saringan keempat.

Final dijadual berlangsung malam ini (awal pagi waktu Malaysia).

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara renang di WUG adalah menerusi Jeffrey Ong yang membawa pulang perak dalam acara 1,500m gaya bebas pada edisi Sheffield 1991.

WUG 2025 yang membuka tirainya secara rasmi semalam, mempertandingkan 19 jenis sukan dengan 234 pingat emas menjadi rebutan sehingga 27 Julai ini.

Sementara itu, dalam saingan taekwondo yang berlangsung di Messe Essen, nasib berbeza menimpa wakil poomsae negara Chin Ken Haw dan Yow Mei Yee apabila kedua-duanya terkandas di pusingan 16 terbaik acara individu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan