WILAYAH - TENGAH > BERITA

Pindaan Akta Perikanan 1985 Fokus Tingkat Denda, Lindungi Habitat Laut

17/07/2025 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat mulai 21 Julai ini memberi tumpuan kepada pengukuhan peraturan sedia ada, termasuk peningkatan kadar denda bagi kesalahan melanggar peraturan perikanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pindaan itu antara lain melibatkan usaha memperkukuh perlindungan terhadap taman-taman laut serta mengenakan kawalan lebih ketat terhadap penggunaan peralatan menangkap ikan seperti pukat naga yang boleh memusnahkan habitat dan kawasan penetasan ikan.

“Akta ini kebanyakannya bagi memperkukuhkan penguatkuasaan sedia ada termasuk penambahan kawalan perairan. Banyak dasar baharu dituntut oleh pihak kebangsaan untuk dibuat perubahan.

“Denda sedia ada juga lebih rendah jika dibandingkan dengan Indonesia dan Thailand. Oleh itu, pindaan ini akan menyelaras dan memperkukuh aspek penguatkuasaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) ke-40 di sini hari ini.

Beliau berkata pindaan itu turut melibatkan larangan penangkapan serta pemeriksaan awal terhadap ikan yang ditangkap di kawasan perairan tercemar bagi memastikan keselamatan makanan.

“Begitu juga dengan larangan penjualan penyu. Ini akan diperincikan dalam pindaan akta bagi memastikan spesies itu tidak pupus,” katanya.

Mohamad berkata draf pindaan berkenaan disiapkan hasil perbincangan dengan semua pihak berkepentingan termasuk wakil rakyat dan pemain industri perikanan.

Beliau berkata bacaan pertama pindaan akta itu akan dilakukan pada persidangan kali ini, manakala bacaan kedua dijangka berlangsung pada Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan