PETALING JAYA, 21 Julai (Bernama) -- Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa dia tidak pernah mengabaikan kanak-kanak autistik itu sepertimana dalam pertuduhan yang dihadapinya.
"Tidak, saya tidak abai Zayn khususnya pada 5 Dis 2023 sepertimana dalam pertuduhan," kata Ismanira Abdul Manaf, 30, semasa pemeriksaan utama oleh peguam Haresh Mahadevan yang mewakilinya pada hari pertama prosiding membela diri dalam kes pengabaian membabitkan kanak-kanak malang itu.
Ismanira berkata dia amat sedih dan sukar menerima keadaan itu kerana sentiasa mengambil berat mengenai keselamatan serta kebajikan Zayn Rayyan.
Semasa melihat jasad Zayn Rayyan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, dia berkata anaknya itu mempunyai luka pada tangan serta bahagian belakang kepala manakala hidungnya berdarah dan mulut tidak bertutup rapat selepas dijumpai pada malam 6 Dis 2023.
"Perut sudah kembung, dia sudah mula membusuk… kakinya kecut warna putih… mata lebam, itu yang saya nampak," katanya.
Ismanira juga berkata semasa Zayn Rayyan dijumpai di aliran sungai berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai, dia merasakan bahawa mayat itu bukan anaknya dan ia adalah budak lain.
Wanita itu berkata dia berada dalam fasa penafian kerana masih tidak percaya bahawa anaknya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.
Menjawab soalan peguam sama ada dia ada bertanya kepada polis mengenai apa yang berlaku pada Zayn Rayyan, Ismanira menjawab "polis menyatakan ada unsur jenayah... jika ikut kecederaan yang dialami anak saya, polis syak seorang pedofilia dan penagih dadah... itu seingat saya".
Terdahulu, Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Pertuduhan terhadap mereka adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, menceritakan mengenai kehilangan Zayn Rayyan, Ismanira berkata dia berasa sangat cemas semasa anaknya hilang pada 5 Dis 2023 selepas mengambil kanak-kanak itu dari sekolah.
"Saya menjemput Zayn lewat lima minit, sebab saya singgah di sebuah pasar raya untuk beli barang untuk masak makanan tengah hari Zayn iaitu spaghetti bolognese sebab dia suka... selepas balik, saya parkir motosikal... dan saya akan membawa Zayn main di taman permainan kerana dia suka main buaian, itu rutin harian.
"Semasa naik ke rumah dan separuh tangga, saya sedar bunyi tapak kasut tiada... saya kemudian naik ke rumah kerana syak Zayn sudah naik kerana dia tahu rumah dia… apabila saya sampai ke rumah, Zayn memang tiada... saya tidak dengar dia berlari kerana kalau dia lari, mesti saya terus kejar," katanya.
Ismanira berkata dia membiarkan pintu pagar dan pintu rumahnya terbuka dengan harapan apabila anaknya itu balik, Zayn Rayyan boleh masuk ke dalam rumah.
"Ketika itu, saya panggil Zayn... kadang-kadang saya panggil abang sebab dia anak sulung... saya cuba panggil abang… Zayn… abang kat mana, tapi tak ada..," katanya dalam nada sebak.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial