SEREMBAN, 24 Julai (Bernama) -- Tiga penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas dipercayai ketika berkonvoi dalam kejadian di KM262 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini awal pagi tadi.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, kesemua lelaki itu dalam perjalanan dari sebuah kedai makan di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.
"Maklumat awal kita terima tiga maut di tempat kejadian dengan seorang kritikal dan sedang dirawat di hospital manakala 10 lagi cedera.
“Siasatan masih dijalankan dan laporan lanjut akan dimaklumkan kemudian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad Hatta dalam kenyataan berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila 15 motosikal yang ditunggang secara berkumpulan dari arah Senawang menghala ke Kuala Lumpur melalui PLUS berada di lorong tengah dan kanan, sebelum tiga motosikal di hadapan terjatuh selepas dipercayai bergesel dan berlanggar sesama sendiri.
“Kejadian itu mengakibatkan 12 motosikal lain dari arah belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar tiga motosikal berkenaan. Akibat pelanggaran itu, semua motosikal yang terlibat turut terjatuh.
“Pada masa sama, sebuah kereta dan sebuah lori turut dilanggar oleh sebahagian daripada 12 motosikal terbabit pada bahagian belakang dan sisi kanan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata akibat kemalangan, tiga mangsa berumur 18 hingga 20 tahun disahkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah manakala 12 penunggang yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk rawatan lanjut dengan dua daripadanya cedera parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Mohamad Hatta berkata mayat mangsa pula dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan penunggang motosikal supaya berhati-hati dan mengelakkan kelajuan yang melampau termasuk tidak menunggang dengan cara mencelah lalu lintas yang lain.
“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Insp Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial