WILAYAH - TIMUR > BERITA

Penjawat Awam Perlu Tunjukkan Teladan Baik, Tidak Sertai Perhimpunan - Peguam Negara

26/07/2025 02:32 PM

MACHANG, 26 Julai (Bernama) -- Penjawat awam perlu menunjukkan teladan yang baik dengan tidak menyertai sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh orang awam.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata sekiranya masih terdapat penjawat awam yang menyertai perhimpunan berkenaan, ketua jabatan masing-masing boleh mengambil tindakan lanjut kerana melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Perhimpunan seperti ini sebenarnya melanggar tatakelakuan dan juga disiplin penjawat awam.

"Kita sebagai penjawat awam sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik, penglibatan penjawat awam saya rasa tidak memberikan manfaat," katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Santuni MADANI Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Mohd Dusuki turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM3,000 serta sebuah televisyen kepada SK Pulai Chondong, selain mengagihkan kain batik, kain pelekat dan botol minuman kepada lebih 1,000 penerima yang terdiri daripada penduduk kampung dan pelajar.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan penjawat awam tertakluk kepada arahan khusus yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) berhubung larangan menyertai mana-mana perhimpunan awam.

Sebarang kegagalan mematuhi P.U. (A) 1/2012, P.U. (A) 395/1993, Perintah-perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh kerajaan boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai awam itu di bawah P.U. (A) 395/1993.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai hukuman yang dikenakan terhadap pempengaruh permotoran Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adiknya Tengku Abdul Aziz semalam, Mohd Dusuki berkata pihaknya akan meneliti semula hukuman terbabit.

"Saya tidak boleh ulas apa-apa pada masa ini sebab ia bidang kuasa mahkamah. Bagaimanapun, kita akan teliti semula," katanya.

Semalam, Tengku Nizaruddin dan Tengku Abdul Aziz, masing-masing dihukum penjara sebulan dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Muar, Johor kerana membuat laporan palsu tentang kehilangan pempengaruh itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan