WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KKR Ambil Tindakan Segera Kes Pembantu Tadbir Dituduh Di Bawah Kanun Keseksaan

27/07/2025 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil maklum mengenai pertuduhan ke atas seorang penjawat awam di kementerian berkenaan di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini dua hari lepas.

KKR dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebagai langkah segera, Lembaga Tatatertib kementerian itu akan bersidang dalam masa terdekat bagi memastikan prosiding perundangan dapat dijalankan tanpa gangguan dan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“KKR tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan tatakelakuan yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam dan organisasi. Daripada aspek kawalan dalaman, KKR sentiasa melaksanakan program kesedaran, pendidikan dan intervensi bagi tujuan mencegah perlakuan sedemikian.

“KKR komited untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, profesional, kondusif dan bebas daripada sebarang bentuk gangguan,” menurut kenyataan itu.

KKR memaklumkan bagi menghormati proses mahkamah yang sedang berjalan dan menjaga hak semua yang terlibat, pihaknya tidak akan mengulas mengenai kes berkenaan sehingga keputusan perundangan dimuktamadkan.

Pada 25 Julai lepas, media melaporkan seorang pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan penuntut wanita di sebuah institusi pengajian tinggi yang sedang menjalani latihan industri, tiga bulan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan