WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hormat Institusi Raja Berperlembagaan Asas Penting Pembinaan Negara Bangsa - Tun Ramli

26/07/2025 01:47 PM

GEORGE TOWN, 26 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib hari ini mengingatkan bahawa penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan merupakan asas penting dalam pembinaan negara bangsa dan kestabilan sistem kenegaraan.

Beliau berkata institusi yang berdaulat itu bukan sekadar warisan sejarah, tetapi juga sebahagian daripada struktur pemerintahan yang menjamin keseimbangan antara kuasa, tanggungjawab dan hak rakyat.

“Prinsip ini telah termaktub dalam satu daripada lima Rukun Negara yang wajar untuk difahami, dihargai serta dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Di negara ini, institusi beraja bukan hanya lambang kedaulatan, tetapi juga berperanan sebagai penjaga keluhuran perlembagaan, pemelihara nilai tradisi dan penyatu rakyat dalam semangat patriotisme yang luhur,” katanya dalam ucapan pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-84 Tun Ramli di Dewan Seri Pinang, di sini hari ini.

Justeru, beliau menyeru rakyat Pulau Pinang agar sentiasa menzahirkan rasa hormat itu melalui sikap, kefahaman dan penghayatan yang ikhlas kerana institusi kenegaraan yang diasaskan atas prinsip Raja Berperlembagaan akan terus utuh selagi rakyat berpegang teguh kepada asas yang sama. 

Sementara itu, Tun Ramli berkata Bulan Kebangsaan yang bakal menjelang sewajarnya menjadi wadah untuk memperteguh semangat kemerdekaan dan memupuk kecintaan yang mendalam terhadap tanah air.

Beliau berkata selain sekadar warisan sejarah, kemerdekaan juga tanggungjawab bersama untuk memelihara keamanan, menghargai nikmat kebebasan dan mempertahankan kemajuan yang telah dicapai.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kejayaan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.8 peratus pada tahun lepas yang menjadikan jumlah KDNK negeri mencecah RM121.5 bilion.

“Sesungguhnya kerajaan negeri telah membuktikan bahawa pentadbiran yang sistematik, berfokus dan progresif merupakan antara kunci utama bagi memastikan kestabilan ekonomi secara mampan,” katanya.

Terdahulu, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang dimulakan dengan 17 das tembakan meriam diikuti dengan tabik hormat dan pemeriksaan perbarisan serta kawalan kehormatan secara serentak.

Hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, mendahului senarai 280 penerima.

Tahun ini, sebanyak 150 individu akan menerima penganugerahan Darjah Kebesaran manakala 1,380 orang menerima Bintang dan Pingat Kehormatan pada istiadat yang diadakan selama empat hari bermula pada hari ini, 28, 29 dan 30 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan