WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Akademi Bahas MADANI Bakal Ditubuhkan Secara Berperingkat Di SBP - Fadhlina

26/07/2025 06:37 PM

PUTRAJAYA, 26 Julai (Bernama) -- Akademi Bahas MADANI bakal ditubuhkan secara berperingkat di semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh kemahiran berbahasa dan pengucapan awam dalam kalangan pelajar yang bakal menyertai Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri edisi akan datang.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata akademi itu bukan sekadar ruang latihan, tetapi akan menjadi platform bagi melatih pelajar menyusun serta menyampaikan pandangan dengan penuh keyakinan, kematangan dan beradab.

“Akademi itu akan menumpukan kepada latihan, pendayaan dari sudut intelektual, hujah yang kritis dan latihan berterusan untuk memastikan anak-anak kita, khususnya di 72 SBP mendapat ruang dan peluang yang sama untuk dilatih dalam akademi yang akan digagaskan ini.

“Ini menjadi agenda utama kita menuju Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri yang akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 di sini hari ini.

Fadhlina berkata penubuhan akademi itu menjadi tumpuan Kementerian Pendidikan (KPM) kerana ia membawa aspirasi besar sebagai satu agenda terbaik negara dalam memperkasakan generasi muda.

“Agenda itu sangat baik kerana kita akan melatih lebih ramai pendebat, membuka ruang dan latihan ditumpukan kepada aspek dan kemahiran seperti ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam soal mengupas ilmu dan soal disiplin.

“Maknanya, bagaimana mereka menggunakan segala keupayaan ilmu untuk berhujah dan yang paling utama adalah akhlak dan adab khususnya apabila berbeza pandangan,” katanya.

Terdahulu, Fadhlina dalam ucapannya berkata piala pusingan pertandingan yang memasuki usia jubli emas itu akan diserahkan kepada Arkib Negara sementara piala baharu bagi edisi ke-51 akan disumbangkan oleh Perdana Menteri.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan pertandingan edisi ke-51 akan menyaksikan pemenang pertama bakal mendapat piala baharu,” katanya.

Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri edisi ke-50 Tahun 2025 menyaksikan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang mempertahankan kejuaraan bagi kategori Bahasa Melayu manakala Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya menewaskan Sekolah Menengah Sains Muar bagi kategori Bahasa Inggeris.

Pemenang bagi kedua-dua kategori itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan, sijil dan iPad.

Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 turut mendapat tajaan hadiah daripada Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang juga program literasi tenaga peringkat Kebangsaan diterajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan