MUAR, 26 Julai (Bernama) -- Program Bakti Komuniti MADANI berperanan memperkukuh nilai kemanusiaan serta menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan khidmat sosial dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata program itu memberi penekanan kepada usaha mempertingkatkan kesejahteraan komuniti menerusi penglibatan aktif rakyat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan setempat.
"Melalui Bakti Komuniti MADANI yang digerakkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia ini, masyarakat bukan sahaja menerima maklumat tepat dan sahih, malah diberi ruang untuk memainkan peranan sebagai ejen penerangan dan penyampai dasar atau inisiatif atau isu-isu semasa secara berkesan," katanya ketika berucap pada Program Bakti Komuniti MADANI di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah di sini hari ini.
Beliau berkata program berkenaan yang turut menjadi program sisipan sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang diadakan di Muar, disertai lebih 700 peserta.
Teo berkata penyertaan itu sekali gus memberikan petanda positif bahawa masyarakat menyambut baik inisiatif berteraskan kesukarelawanan yang mampu menggerakkan masyarakat supaya lebih cakna, prihatin dan bersatu hati.
Pada masa sama, Teo menyeru orang ramai memeriahkan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Tanjung Emas di sini esok.
"Majlis itu bertujuan menggelorakan lagi semangat cinta tanah air serta penghayatan erti kemerdekaan dalam kalangan rakyat," katanya.
Beliau berkata Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025) bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” itu sekali gus mencerminkan semangat kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat, menyantuni, mendengar suara dan memelihara kebajikan semua lapisan masyarakat.
Selain aktiviti gotong royong, pengisian Bakti Komuniti MADANI meliputi program penukaran minyak hitam motosikal dan gunting rambut percuma, pertandingan e-Sukan dan memasak asam pedas serta cabutan bertuah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial