WILAYAH - SELATAN > BERITA

Masyarakat Khususnya Mangsa Scam Digalak Manfaatkan Talian 997 - Teo

26/07/2025 06:56 PM

KULAI, 26 Julai (Bernama) -- Masyarakat di negara ini khususnya mereka yang menjadi mangsa penipuan dalam talian digalakkan untuk memanfaatkan talian 997, iaitu Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang akan beroperasi selama 24 jam bermula September.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata NSRC yang dikendalikan sepenuhnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), diyakini akan dapat membantu lebih ramai mangsa penipuan dalam talian.

Beliau berkata trend penipuan di media sosial kini dilihat semakin meruncing dan meningkat setiap tahun dan setakat 15 Julai tahun ini, 46,817 hantaran berkaitan iklan penipuan telah direkodkan.

“Dulu kita cakap selepas menghubungi 997, mangsa masih perlu pergi ke balai polis untuk buat laporan, tetapi sekarang 997 ataupun NSRC telah diambil alih PDRM sepenuhnya.

“Maksudnya apabila seseorang mangsa hubungi 997, ia akan diambil sebagai laporan dengan polis. Jadi mangsa tidak perlu pergi ke balai polis dan menjimatkan masa.

“Jadi saya berharap, lebih lagi ramai orang yang tahu tentang talian NSRC ini supaya mereka boleh hubunginya secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas meninjau projek pembinaan longkang konkrit bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Melayu Bukit Batu, di sini hari ini.

Teo berkata sebanyak 80 peratus iklan bersifat penipuan dalam talian di media sosial dikesan banyak berlaku di Facebook menggunakan nama individu berprofil tinggi.

Beliau berkata pada tahun 2023, pihaknya telah mengambil tindakan penurunan terhadap 6,297 iklan bersifat penipuan di semua platform media sosial.

“Saya sendiri juga menjadi mangsa yang gambar saya diguna pakai oleh penipu. Mereka membuat iklan pemberian buku secara percuma oleh Mantan Menteri Pendidikan, pada minggu lepas. Iklan ini sudah diturunkan tetapi terdapat pemilik akaun lain menaikkan iklan yang sama.

“Selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menurunkan iklan penipuan gambar saya, saya lihat ada enam akaun lain naikkan iklan palsu yang sama. Saya rasa tidak gembira dengan Meta, walaupun sudah melalui MCMC iklan bersifat penipuan tetapi mereka (Meta) masih benarkan orangg lain guna iklan itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan