WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Fahmi Sertai 3,000 Peserta Merdeka 6.8Km Fun Run & Walk

27/07/2025 09:42 AM

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyertai kira-kira 3,000 peserta program Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk yang berlangsung meriah di Dataran Tanjung Emas, di sini bersempena dengan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 hari ini.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 sebelum itu melakukan pelepasan pada 7.08 pagi sebelum bersama-sama berlari dengan peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT), komuniti pelari serta petugas agensi dan jabatan kerajaan. 

Antara pengurusan tertinggi Kementerian Komunikasi yang turut menyertai larian ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif)) Nik Kamaruzaman Nik Husin, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Mano Verabathran dan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Mazlan Abd Mutalib.

Turut serta, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.

Program larian itu berlangsung dalam suasana penuh semangat kebangsaan dan kesukanan, dengan kebanyakan peserta mengibarkan Jalur Gemilang sambil berlari dan berjalan kaki mengelilingi laluan ikonik di sekitar bandar Muar yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani. 

Peserta yang mendaftar awal turut menerima baju edisi khas manakala 1,000 peserta terawal yang berjaya menamatkan larian menerima pingat sebagai penghargaan selain cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah kepada peserta.

MPBKKJG akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 pagi ini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Fahmi berkata lebih 4,000 peserta menyertai acara larian sejauh 6.8 kilometer itu pada pagi ini, melebihi sasaran 3,000 peserta sekali gus mencerminkan sambutan hangat masyarakat terhadap program berkenaan.

Beliau berkata pelbagai program telah diadakan sejak semalam yang berlangsung dalam suasana meriah, dengan tumpuan utama program hari ini ialah Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 10 pagi.

“Sepanjang Bulan Kebangsaan ini, insya-Allah kita akan anjurkan pelbagai program dan aktiviti sisipan menuju sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Saya harap acara pada pagi ini akan melonjakkan semangat cintakan negara dan sayangkan Jalur Gemilang,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai hadir bagi memeriahkan program yang diserikan dengan pelbagai reruai, kaunter informasi dan aktiviti sisipan bersempena dengan sambutan bermakna hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan