IPOH, 27 Julai (Bernama) -- Projek pembangunan 12 Taman Rekreasi MADANI (TRM) di sekitar Ipoh dijangka siap sepenuhnya pada akhir Julai ini, dengan peruntukan RM5.4 juta, membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan ruang rekreasi yang kondusif untuk rakyat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek TRM itu dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selepas menerima peruntukan berkenaan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beliau berkata setiap taman dibangunkan dengan kos RM450,000 dan Taman Rekreasi MADANI Canning antara yang siap dibina di kawasan bandar raya Ipoh.
“Di bawah KPKT, kita ada impian 1,000 taman, iaitu 1,000 taman komuniti dan juga kawasan-kawasan lapang di kawasan perumahan supaya komuniti penduduk setempat menikmati kehijauan, keindahan, kebersihan taman awam di bawah kerangka ekonomi MADANI.
“Selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI, kita ingin membina sebuah negara yang mampan, berdaya saing, berdaya cipta, malahan sejahtera. Kesejahteraan rakyat ialah keutamaan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Taman Rekreasi MADANI Canning dan Pelancaran Program CSR Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) di sini hari ini.
Terdahulu, berlangsung satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KLK dengan MBI yang bekerjasama memelihara dan menjaga kelestarian tujuh TRM di sekitar Ipoh selama dua tahun.
Nga berkata setiap dua minggu, pasukan daripada KLK akan datang ke TRM berkenaan untuk menabur baja, racun perosak, memotong rumput dan beberapa kerja penyelenggaraan yang lain.
“Tujuh TRM yang akan diselenggara oleh KLK ialah Woodland Park 1 Tambun, Woodland Park 2 Tambun, Canning, Bandar Baru Putra, Westpool Park, Pengkalan Barat dan First Garden, ketujuh-tujuh taman ini ialah langkah permulaan.
“Kerjasama ini ialah satu inisiatif yang baik dan saya harap ada lagi syarikat besar lain yang akan turut menyumbang tenaga dan juga mencurahkan bakti, bersama-sama kita membina bandar raya Ipoh yang bersih, hijau, makmur, aman dan damai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial